Rabu, 26 Julai 2017 | 12:03am
PROSES menggunakan mesin khas dalam pembuatan serat benang. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PROSES menggunakan mesin khas dalam pembuatan serat benang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Samping, tali leher benang nanas diminati

PASIR GUDANG: Samping yang dihasilkan daripada benang nanas boleh mencecah harga sehingga RM1,400, manakala tali leher dijual pada harga antara RM150 hingga RM200.

Keunikan dan nilai kreativiti produk daripada benang nanas mendorong Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini, menghasilkan pelbagai produk berasaskan benang serat seperti songket, kain tenun, tali leher, songkok dan pelbagai barangan kraftangan lain.

Projek yang dimulakan sejak 2011 itu memanfaatkan sisa nanas untuk dijadikan produk premium yang boleh dijual dengan harga lumayan, apatah lagi Johor mempunyai keluasan tanaman nanas terbesar di Malaysia.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS, Abu Bakar Abdul Hamid, berkata pihaknya bekerjasama dengan usahawan tempatan bagi mendapatkan serat benang nanas untuk dijadikan pelbagai produk dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

ABU Bakar menunjukkan kain songket yang diperbuat daripada benang serat nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ABU Bakar menunjukkan kain songket yang diperbuat daripada benang serat nanas. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KAIN songket yang diperbuat daripada benang serat nanas dan dapat menghasilkan tekstil berkualiti tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KAIN songket yang diperbuat daripada benang serat nanas dan dapat menghasilkan tekstil berkualiti tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Kami sudah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) penghasilan produk daripada benang serat ini sejak enam tahun lalu. Kajian dilaksanakan beberapa pensyarah dan pelajar PIS daripada jurusan Rekaan Fesyen dan Pakaian, Grafik, Rekabentuk Industri serta Kelab Seni Kreatif yang membantu menjayakan projek ini.

"Projek ini mengutamakan penggunaan bahan mentah yang ada di Johor. Kami mahu memanfaatkan sisa nanas ini untuk diproses, seterusnya dijadikan produk premium serta membangunkan identiti tersendiri," katanya ketika ditemui di sini.

Abu Bakar berkata, produk hiliran nanas mempunyai potensi yang besar untuk dikomersilkan kerana semakin mendapat permintaan, bukan saja pengguna tempatan tetapi juga luar negara.

Katanya, hasil seni tangan daripada benang serat nanas yang dihasilkan PIS juga mendapat sambutan baik di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

"Kami beli benang nanas ini daripada beberapa pengusaha di Pontian, termasuk benang yang sudah diwarnakan. Di PIS, kami ada juga hasilkan benang nanas kerana matlamat kami adalah untuk menjadi pusat sehenti nanas apabila sebuah galeri khas nanas akan dibuka sebelum akhir tahun ini.

gn4id:21804379

 PRODUK hiliran nanas mempunyai potensi yang besar untuk dikomersilkan kerana semakin mendapat permintaan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PRODUK hiliran nanas mempunyai potensi yang besar untuk dikomersilkan kerana semakin mendapat permintaan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Setakat ini, produk yang mendapat sambutan tinggi adalah samping serat nanas yang dijual sehingga RM1,400. Permintaan itu ada, namun sumber manusia untuk menghasilkan kain tenun ini yang menjadi kekangan untuk ia dihasilkan secara komersial dan seterusnya dipasarkan ke luar negara.

"Bukan itu saja, PIS turut menerima tempahan tali leher yang ditenun daripada benang nanas yang dijual antara RM150 hingga RM180.

"Kami hanya menggunakan seratus peratus benang serat nanas bagi pembuatan songkok dan beg, manakala seperti tali leher dan songket hanya digunakan pada motifnya dan ini yang menjadikan identitinya tersendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd Anim Hosnan, berkata LPNM akan memperkasakan industri hiliran nanas dengan memperbanyakkan projek hiliran bermula tahun ini bagi meningkatkan pendapatan peserta industri.

Katanya, industri hiliran nanas perlu diperkukuhkan kerana ia tanaman pelbagai guna yang boleh dijadikan sebagai benang serat, kertas, cenderamata serta kain tenun yang mempunyai potensi besar untuk pasaran tempatan dan eksport.

JUMLAH penghasilan produk daripada sisa tanaman nanas.
JUMLAH penghasilan produk daripada sisa tanaman nanas.

"Selain produk utama nanas iaitu buah dan sulur benih, LPNM juga melaksanakan Program Zero Waste dalam usaha mempelbagaikan hasil pengeluaran daripada sisa nanas.

"Namun, disebabkan kekangan teknologi dan tiadanya pemacu pemasaran menjadikan industri hiliran ini hanya dilaksanakan secara kecil-kecilan atau belakang rumah terutama dalam kalangan suri rumah dan pengusaha kecil.

"Bagaimanapun, kami bersedia membantu pengusaha yang berminat mengembangkan perniagaan industri hiliran ini, dan LPNM menerusi Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani juga mempunyai peruntukan bagi membantu termasuk dari segi peralatan dan teknologi," katanya.

Beliau berkata, LPNM turut menyasarkan industri hiliran bagi pengeluaran kertas, serat benang nanas dan silaj bagi makanan haiwan akan dapat dimajukan serta memasuki pasaran eksport dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, LPNM akan membantu usahawan berpotensi menerusi geran padanan dengan agensi lain seperti MARDI dalam mengembangkan industri hiliran yang diusahakan.

"Industri ini mampu memberikan hasil yang lumayan dan sebagai contoh dalam pengeluaran benang serat nanas sebanyak RM1,000 boleh diperoleh menerusi satu kilogram benang siap diproses, manakala RM300 bagi benang yang masih basah (belum proses)," katanya.

INFO
Produk hiliran daripada sisa nanas:

  • 1 hektar luas ladang menghasilkan 49 tan sisa yang boleh menghasilkan 20 tan fiber (hasil bahan mentah) sebelum dijadikan 20,000 keping nanas.
  • 1 hektar luas ladang menghasilkan 49 tan sisa yang boleh menghasilkan 20 tan serat (hasil bahan mentah) sebelum dijadikan 200 kilogram benang.
  • 1 hektar luas ladang menghasilkan 49 tan sisa yang boleh menghasilkan 20 tan sisa (hasil bahan mentah) sebelum dijadikan 49 tan silaj.
Berita Harian X