Selasa, 31 Oktober 2017 | 10:08pm

Aplikasi ATTracT Modul Alzheimer awasi pesakit

BANTING: Menyedari kepentingan untuk ahli keluarga dan penjaga mengawasi pesakit Alzheimer, satu aplikasi dibangunkan sekumpulan pegawai penyelidik dari Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), dikenali sebagai Angkasa Tracking, Tracing & Trigger System (ATTracT) Modul Alzheimer.

Pegawai Penyelidik ANGKASA, Ooi Wei Han, berkata alat berkenaan berfungsi memantau pergerakan pesakit Alzheimer sama ada di dalam atau di luar rumah.

Katanya, aplikasi itu direka bagi meningkatkan keselamatan penghidap Alzheimer dengan mengurangkan risiko kehilangan dan kecederaan sepanjang menggunakannya.

"Penciptaan aplikasi berbentuk seperti jam tangan ini juga membolehkan orang awam memanfaatkan teknologi angkasa dan teknologi Sistem Pengesanan Global (GPS) atau Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS)," katanya.

Wei Han berkata, menerusi program di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Inovasi Sosial MOSTI, kumpulannya diperuntukkan sejumlah dana untuk membangunkan satu aplikasi yang boleh membantu warga emas penghidap Alzheimer.

"Alzheimer berkait rapat dengan masalah nyanyuk. Isu yang paling serius ialah mereka tidak bercakap, pelupa dan bermasalah dalam komunikasi.


WEI Han mengalu-alukan idea penambahbaikan yang relevan bagi meningkatkan kualiti peralatan ATTracT Modul Alzheimer. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Aplikasi ini menggabungkan tiga perkara iaitu Tracking (menjejaki), Tracing (mengesan dan rekod ke mana mereka pergi) dan Trigger (membuat tetapan kawasan sepatutnya pesakit berada)," katanya.

Aplikasi itu menggunakan server (pelayan) yang berpusat di ANGKASA dan semua maklumat disimpan dalam pelayan pangkalan data khas di situ.

Penjaga, sama ada suami, isteri atau anak-anak kepada penghidap Alzheimer perlu memuat naik aplikasi di telefon bimbit masing-masing untuk mengesan pergerakan pengguna sepanjang masa dan maklumat lokasi pengguna akan dihantar kepada pelayan di ANGKASA.

"Sekiranya pengguna berada di luar kawasan tetapan, penjaga akan menerima mesej pemberitahuan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) bahawa pesakit tidak berada di dalam kawasan itu.

"Alat ini juga boleh digunakan oleh pengendali pusat jagaan harian yang akan memantau pergerakan semua pengguna pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata, ANGKASA turut menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) untuk mengenal pasti pengguna yang memerlukan aplikasi ini bagi memudahkan kehidupan seharian mereka.

 

"ADFM antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan pesakit Alzheimer di negara ini, sebagai pusat jagaan harian yang bertanggungjawab mengesan semua pengguna," katanya.


ATTracT Modul Alzheimer menggabungkan keupayaan rangkaian GPS dan WiFi untuk menentukan lokasi penghidapnya dengan persekitaran di dalam dan di luar. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bukan sekadar ciptaan biasa

ATTracT Modul Alzheimer direka bukan sekadar memenuhi keperluan manusia sahaja, sebaliknya ANGKASA mengambil masa selama setahun bagi melahirkan satu produk teknologi yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Wei Han yakin penjaga yang memantau ahli keluarga yang menghidap Alzheimer pasti akan kerap melihat pergerakan pengguna menerusi telefon bimbit masing-masing.

"Kami mencipta aplikasi ini kerana kami mahu membuat kajian sosial terhadap pengguna yang menggunakannya termasuk bagaimana aplikasi ini boleh meningkatkan kesan sosial dalam masyarakat.

"Contohnya, sebagai anak, sejauh anda keprihatinan anda terhadap ibu atau ayah apabila menggunakan aplikasi ini.

 

"Jika sebelum ini, mereka kurang ambil berat, aplikasi ini dapat membantu mengeratkan hubungan anak dengan ibu atau ayah serta suami dan isteri," katanya sambil berharap aplikasi itu dapat membantu mengubah hubungan kekeluargaan ke arah lebih baik.

50 unit sebagai projek perintis

Aplikasi ini mula digunakan Jun lalu melalui projek rintis terhadap 50 pengguna iaitu pesakit Alzheimer yang diperoleh melalui ADFM.

Wei Han berkata, ADFM sudah mengagihkan sebahagian besar aplikasi itu kepada pengguna yang dikenal pasti benar-benar memerlukannya di seluruh Semenanjung Malaysia dan selebihnya akan diagihkan kepada pengguna di Sabah dan Sarawak.

"Sebanyak 50 unit dicipta sebagai projek rintis. Kami ingin lihat maklum balas dan keberkesanan penggunaannya.

 

"Rupanya seperti jam tangan, terdapat kad sim di dalamnya. Ia sama seperti talian telefon dan kad sim juga sama kad sim telefon. Terdapat tiga warna iaitu hitam, perak dan keemasan.

 

"Dari segi jangka hayatnya pula, ia boleh digunakan sampai bila-bila dan bergantung pada bateri. Jika tidak jatuh atau rosak, ia boleh bertahan lebih lama," katanya.

 

Bagaimanapun, katanya, ANGKASA tidak akan menjual aplikasi itu sebaliknya akan melantik pihak ketiga untuk urusan pembelian sekiranya ada mana-mana pihak yang berhasrat mendapatkannya.

 

"Harganya RM200 seunit tetapi 50 unit itu diberikan secara percuma kepada pesakit dan ini sebagai usaha kami dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu insan yang memerlukannya.

 

"Selepas ini, jika ada yang memerlukan, penjaga boleh membelinya menerusi pihak ketiga yang kami akan lantik," katanya.


WEI Han menunjukkan jam yang digunakan sebagai alat pengesan pesakit Alzheimer. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Teknologi juga ada kelemahannya

 

Biarpun teknologi navigasi satelit dan aplikasi pemetaan telah membuktikan kegunaannya dalam meningkatkan pengesanan dan menjejaki individu, beberapa faktor lain turut menjadi kekangan kepada keberkesanannya.

Wei Han berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima sejak ATTracT Modul Alzheimer mula digunakan Jun lalu, beberapa penjaga memaklumkan bahawa baterinya tidak bertahan lama dan tidak kalis air.

 

"Ada maklumkan pada kami, bateri tidak bertahan lama dan hanya boleh bertahan sehari sahaja. Setiap malam, jam ini kena cas selepas seharian pengguna pakai.

 

"Perkara ini memang diakui kerana kami buat tetapan penghantaran maklumat setiap dua minit bagi membolehkan ahli keluarga dan penjaga memantau pesakit.

 

"Tetapan penghantaran maklumat boleh dibuat setiap sejam untuk mengurangkan masalah itu tetapi penjaga tidak akan dapat maklumat terkini di mana ahli pesakit berada," katanya.

Beliau berkata, setiap hari, aplikasi itu perlu dicas selama dua jam bagi membolehkan ia berfungsi keesokan harinya.

Masalah ATTracT Modul Alzheimer yang tidak kalis air pula tidak dapat dielakkan kerana ia akan menjadi lebih mahal dan dikhuatiri tidak berbaloi untuk pengguna.

"Kos setiap satu boleh mencecah RM1,000. Kalau terlampau mahal, ia membebankan pula pengguna dan penjaga. Keutamaan kami untuk menghasilkan peralatan dan aplikasi ini mesra pengguna selain mampu milik walaupun tidak kalis air," katanya.

Wei Han berkata, memandangkan terdapat beberapa maklum balas demikian dari penjaga, pihaknya mengalu-alukan idea penambahbaikan yang relevan dan dapat membantu meningkatkan kualiti peralatan itu.

Beliau berkata, selain isu bateri dan kalis air, aplikasi itu juga sukar digunakan pasangan pesakit yang juga sudah berusia namun pemantauan itu boleh dilakukan oleh anak atau ahli keluarga lain.

"Seorang penjaga adalah isteri yang agak berusia untuk memantau suami penghidap Alzheimer. Sukar untuk beliau menggunakan aplikasi ini. Oleh itu, tugas pemantauan diambil alih anak mereka.

 

"Begitu juga dengan isu pengguna memberontak, sukar dikawal, tidak mahu memakai jam itu. Sehubungan itu, penjaga akan masukkan dalam beg atau poket seluar," katanya.


ATTracT Modul Alzheimer adalah persediaan sistem pengawasan di pusat penjagaan pesakit Alzheimer (AD) untuk memantau pergerakan pengguna. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

INFO: ATTracT Modul Alzheimer

  • Menjejaki waktu sebenar lokasi untuk persekitaran dalaman dan luaran.
  • Persediaan zon pergerakan atau sempadan maya dan pengaktifan masa.
  • Pemberitahuan menerusi SMS (sehingga empat peranti pintar penjaga).
  • Maklumat pergerakan lepas apabila melintasi sempadan maya.
  • Persediaan sistem pengawasan di pusat penjagaan pesakit Alzheimer (AD) untuk memantau pergerakan pengguna.
  • Menggabungkan keupayaan rangkaian GPS dan WiFi untuk menentukan lokasi penghidapnya dengan persekitaran di dalam dan di luar.
  • Pergerakan penghidap Alzheimer akan dipantau menggunakan jam tangan yang diaktifkan dengan GPS sementara penjaga akan dapat mengesan dan memantau pengguna secara tepat (waktu) melalui telefon bimbit mereka.
  • Sistem kedudukan WPS adalah pelengkap terbaik kepada kedudukan GPS di mana isyarat GPS di dalam persekitaran tertutup.
  • Rangkaian WiFi kebiasaannya senang diperoleh di dalam bangunan, kedai, taman dan kawasan awam.
Berita Harian X