Selasa, 7 November 2017 | 7:01pm

Media Prima lancar portal e-game baharu

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd melancarkan portal baharunya, MyGameOn yang menyediakan berita, reviu dan acara terkini untuk permainan video, dengan memfokuskan kandungan tempatan dan luar negara.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau, berkata portal itu menyasarkan pelanggan di bandar dan separa bandar berusia dari 12 tahun hingga 25 tahun yang meminati permainan video, ataupun berita berkaitan permainan video dan e-sukan.

MyGameOn, katanya, hasil kerjasama strategik bersama-sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Garena yang menyediakan kandungan di dalam portal berkenaan.

Beliau berkata, MyGameOn ialah langkah yang dilaksanakan oleh Media Prima untuk menjana pendapatan baharu menerusi perkembangan digital dan sukan permainan video, yang terus mendapat perhatian daripada peminatnya.

"Kami menyasarkan untuk enam bulan pertama ini sebanyak 300,000 pengunjung unik akan melayari portal ini dan jumlah itu akan bertambah setiap bulan.

"MyGameOn bakal menjadi portal utama untuk pemain dan peminat berinteraksi, selain menyediakan kandungan terkini dan semasa mengenai dunia permainan video.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak untuk pengiklanan dan hebahan melalui portal ini," katanya selepas merasmikan MyGameOn di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali.

Nicholas berkata, portal ini juga bakal mempunyai platform e-dagangnya sendiri dan pihaknya kini sedang mencari syarikat yang berpotensi dan berminat dengan portal baharunya itu.

Katanya, buat permulaan MyGameOn akan menumpukan kepada pasaran tempatan sebelum diperluaskan ke pasaran serantau.

Mengulas lanjut, Nicholas berkata, pihaknya komited dalam pembangunan portal dan permainan video dengan sebanyak RM3 juta sudah dilabur untuk pembangunan permainan video.

RAFIQ (kiri) bersama Nicholas menunjukkan portal MyGameOn. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X