Khamis, 7 Disember 2017 | 6:14pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah memperkenalkan aplikasi dompet elektronik (e-dompet) tempatan pertama, TaPay di Cyberjaya, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

TaPay teroka Cyberjaya

CYBERJAYA: Pengenalan aplikasi dompet elektronik (e-dompet) tempatan pertama, TaPay bakal melancarkan usaha kerajaan ke arah pembayaran tanpa tunai.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata TaPay dijangka menyumbang kepada penyelesaian bandar pintar selaras ke arah menjadi hab teknologi global.

"Kepantasan yang dibangunkan dan perkembangan TaPay amat menakjubkan dan ia menjadikan bukti keinginan pasaran untuk aplikasi e-dompet yang memenuhi permintaan masyarakat," katanya kepada media selepas memperkenalkan aplikasi berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Fullrich Malaysia Sdn Bhd (Fullrich), Muhammad Hudhaifa Ahmad; Pengarah Urusan Cyberview, Mohd Najib Ibrahim dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Bhd, Kamarul Ariffin Mohd Jamil.

Pada majlis sama, Irwan Serigar turut menyaksikan majlis perjanjian usahasama antara Fullrich dan Cyberview dan perjanjian persefahaman (MoU) Fullrich dengan Affin Bank, Piksum, Aladdin Street dan Myrelo.

TaPay dibangunkan Fullrich, syarikat perkhidmatan teknologi kewangan (FinTech). Pengenalan TaPay adalah hasil kerjasama Fullrich dengan Cyberview Sdn Bhd dan Affin Bank Group adalah aplikasi yang berteraskan ciri komuniti.

Ia sedang diperkasakan serta diperhalusi menerusi jaringan secara langsung dan mengambil kira 100,000 input daripada kelompok perniagaan, penduduk, institusi pendidikan serta pelajar di kawasan Cyberjaya.

Mengulas mengenainya, Muhammad Hudhaifa berkata, TaPay boleh digunakan sebagai transaksi pembelian barang atau perkhidmatan dan pemindahan ringgit digital antara pengguna aplikasi.

Katanya, aplikasi itu bertujuan menjadikan kehidupan pengguna lebih mudah kerana mengurangkan keperluan membawa tunai, kad kredit dan resit.

"Buat masa ini, TaPay masih diuji dan Cyberjaya menjadi perintis untuk menggunakan aplikasi ini. Kita akan lancarkan TaPay selepas semua proses termasuk kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) diperoleh," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Najib menjelaskan kerjasama dengan Fullrich adalah inisiatif oleh Cyberview yang berusaha ke arah masyarakat tanpa tunai di Cyberjaya.

"Matlamat kami adalah sejajar dengan seruan kerajaan mengembangkan ekonomi digital Malaysia," katanya.

TaPay tidak hanya boleh digunakan pengguna, malah aplikasi itu juga mempunyai versi peniaga (TaPay Biz) yang ditambah dengan ciri lampiran, analisis dan fungsi pembabitan langsung komuniti.

Info:

TaPay

* Aplikasi e-dompet komuniti

* 7 peniaga perintis di Cyberjaya

219 dibaca
Berita Harian X