Selasa, 31 Julai 2018 | 3:27pm
Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan (tiga dari kiri) melancarkan sistem telefon maya OMNI di Digi Shah Alam. - Foto Rohanis Shukri

Digi perkenal sistem telefon maya Omni

SUBANG JAYA: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan produk terbaru dikenali Omni iaitu sistem telefon maya yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau kumpulan sosial di seluruh negara.

Ia alternatif berpatutan bagi sistem telefon pejabat yang mahal dan rumit serta penyedia layanan telefon atau PBX 2.0 yang membolehkan telefon pintar menjadi pusat panggilan dan mudah dikawal melalui aplikasi di telefon pintar atau paparan web.

Ketua Pegawai Digitalnya, Praveen Rajan, berkata pihaknya melihat potensi pasaran besar melalui kemudahan rangkaian dan hubungan Digi bagi menawarkan harga yang berpatutan dan penyelesaian digital terkini kepada PKS untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan masing-masing.

"Untuk 907,065 PKS, Omni memberi peluang kepada pengusaha PKS mendapatkan sistem telekomunikasi pada kos lebih berpatutan dan mengurangkan risiko terlepas panggilan atau peluang perniagaan," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Praveen berkata, sebelum ini Digi membantu PKS melalui perkhidmatan iFleet dan vcash, yang mana pengenalan Omni akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan digital dipercayai oleh PKS di negara ini.

Pelanggan boleh menggunakan Omni pada harga serendah RM60 sebulan di mana tiada kontrak dikenakan.

Ia turut dilengkapi ciri panggilan tetap sekali gus mengelakkan keperluan untuk berkongsi nombor telefon mudah alih bagi tujuan perniagaan.

Menurutnya, pelanggan boleh menggunakan portal Omni bagi menguruskan sistem telefon perniagaan seperti penetapan jam perniagaan, struktur laluan semula panggilan dan sub akaun, kegunaan pengesanan, aktiviti dan pengurusan langganan, serta menetapkan mesej bantuan maya, sambungan serta nombor.

"Sejak prapelancaran Omni dua bulan lalu, sistem ini mendapat maklum balas positif daripada PKS tempatan dan kami berhasrat untuk menarik seberapa banyak langganan daripada kalangan PKS di negara ini," katanya.

Berita Harian X