Ahad, 23 September 2018 | 5:07pm

Pelajar Tingkatan Satu bangunkan aplikasi pintar

KUALA LUMPUR: Mula bermain-main dengan pengaturcaraan komputer ketika Tahun Empat, pelajar berusia 13 tahun mengagumkan peserta JomLaunch v6.0 dengan melancarkan aplikasi perisian pintar yang dibangunkan sendiri.

Perisian yang dilancarkan dengan nama kod BenchPoint itu perisian keempat dibangunkan Muhammad Akmal Hazim Hafizul Rasydan menggunakan sumber terbuka, selepas perisiannya yang lain mendapat sambutan pelanggan dan menjana pendapatan.

Muhammad Akmal, berkata beliau didedahkan dengan pengaturcaraan oleh ayahnya Hafizul Rasydan Yaacob, 38, yang mendapati beliau gemar kepada permainan dalam talian dan menyarankan membangunkan hos aplikasi permainan dalam talian menggunakan pelayan murah.

Beliau yang kini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Bentong, Pahang berkata, kemudian timbul minat untuk memanfaatkan pelayan yang sama bagi menawarkan perkhidmatan hos web dan meneroka pelbagai idea baharu.

“Masa mula-mula, saya lebih tertumpu kepada robotik, namun robotik memerlukan proses pemasangan yang lama dan sukar untuk pengguna baharu, lebih-lebih lagi kosnya tinggi.

“Berbeza dengan aplikasi, pengguna hanya perlu muat turun dan tidak memerlukan kos besar. Jadi, saya mula melihat di Facebook dan bertanya pakar pengaturcaraan program. Dari situ saya banyak belajar sendiri.

“Ayah banyak membantu dengan mengajar cara untuk masuk ke pelayan dan mendapatkan pelayan murah kerana ini memerlukan kad kredit,” katanya.

JomLaunch tahun ini dengan lebih 600 penyertaan ialah pentas untuk ahli komuniti JomWeb tempatan melancarkan produk teknologi maklumat (IT) dalam membantu mengetengahkan projek komuniti, sumber terbuka, projek persendirian serta komersial mereka.

Mengulas www.benchpoint.io, Muhammad Akmal berkata, aplikasi itu bertujuan membantu pengguna internet, khususnya pentadbir dan pembangun web memantau rangkaian pelayan, termasuk mengawal konfigurasi pelayan, kelajuan RAM serta penggunaan unit pemprosesan komputer (CPU).

Sebelum ini, katanya, pentadbir dan pembangun web yang mahu memeriksa pelayan terpaksa memasukkan arahan pengaturcaraan yang panjang dan membuang banyak masa hanya untuk melakukan konfigurasi kepada pelayan serta mengawalnya.

“Saya lancar BenchPoint sebagai kemudahan membantu mereka hanya menggunakan web kosong yang kami gunakan teknik ‘heartbeat’ dan pengguna hanya perlu menunggu antara satu hingga lima minit untuk mendapatkan keputusan yang mereka mahukan.

“Ini sangat membantu pengguna di Malaysia, khususnya bagi mereka yang tiada masa atau pengetahuan untuk akses ke pelayan masing-masing,” katanya.

MUHAMMAD Akmal melancarkan aplikasi perisian BenchPoint yang dibangunkannya sendiri. - NSTP/Che Wan Badrul Alias
Berita Harian X