Jumaat, 19 Oktober 2018 | 10:10pm
JASON Yap menunjukkan cenderamata alu-aluan berupa botol minuman aluminium edisi terhad Perfect Lifestyle untuk 500 pengunjung pertama setiap hari sepanjang tiga hari Pameran Perfect Lifestyle di Mid Valley. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sasar jualan RM20 juta untuk Perfect Lifestyle

KUALA LUMPUR: i.Star Ideas Factory Sdn Bhd (i.Star), mensasarkan transaksi jualan lebih kurang RM20 juta bagi Ekspo Kediaman Perfect Lifestyle yang berlangsung mulai hari ini hingga 21 Oktober.

Penganjur pameran kelengkapan dan produk hiasan kediaman terkemuka itu turut menyediakan lebih RM100,000 berupa baucar tunai dan produk untuk dimenangi pengunjung.

Pengarahnya, Jason Yap berkata, pameran Perfect Lifestyle yang diadakan di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) itu dijangka menerima lebih 30,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung.

Katanya, terdapat 350 tapak pameran dan kira-kira 50 pempamer mengambil bahagian sempena pameran kali ini serta menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pengunjung.

“Ini adalah masa yang tepat untuk orang ramai mendapatkan kelengkapan kediaman terutama mereka yang mahu barangan rekaan khas mengikut cita rasa sendiri.

“Selain itu, pelbagai tawaran menarik disediakan untuk pengunjung termasuk cenderamata alu-aluan berupa botol minuman aluminium edisi terhad Perfect Lifestyle untuk 500 pengunjung pertama setiap hari sepanjang tiga hari penganjuran pameran itu,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Menurutnya, pengunjung juga berpeluang memenangi tilam Dunlopillo Talasilver Wave bernilai RM15,000 dengan hanya mendaftar tanpa perlu melakukan sebarang pembelian.

Jason berkata, buat julung kalinya syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom turut bekerjasama dengan i.Star sebagai penaja dan peserta pameran sekali gus menawarkan kehebatan produk jalur lebarnya, Celcom Home Wireless.

Beliau berkata, Celcom Home Wireless boleh dihubungkan dengan 64 peranti dan menjadi penyelesaian internet di rumah serta boleh digunakan seisi keluarga.

“Celcom Home Wireless boleh didapati secara eksklusif sepanjang pameran dan konsumer boleh menikmati rebat RM15 apabila mendaftar Celcom Home Wireless Platinum,” katanya.

Pameran Perfect Lifestyle bermula pada jam 10 pagi dan berakhir jam 10 malam.

Berita Harian X