Ahad, 18 November 2018 | 6:07pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA

SKMM pantau pakej telco, jamin mutu perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Langkah tegas kerajaan membuahkan hasil apabila kadar kelajuan jalur lebar negara mencatatkan peningkatan ketara.

Kaji selidik kadar kelajuan jalur lebar oleh The Speedtest Global Index (SGI) mendapati, Malaysia naik 10 anak tangga ke-26 terpantas di dunia bulan lalu, dengan purata kelajuan tetap 61.97mbps.

Ia bermakna, rakyat Malaysia kini menikmati kadar kelajuan lebih bermakna.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak, berkata berita positif itu adalah perkembangan memberangsangkan ke arah memperkukuhkan perkhidmatan jalur lebar dalam negara.

“SKMM akan terus memantau pakej ditawarkan syarikat telekomunikasi bagi memastikan pengguna menikmati mutu perkhidmatan yang baik, berkelajuan tinggi dan pada harga berpatutan untuk jangka masa panjang.

“Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sendiri menjadikan isu ini sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Gobind mahu syarikat telekomunikasi tempatan meningkatkan kadar kelajuan jalur lebar pada harga rendah.

Setakat ini, kerajaan menunaikan janji mengurangkan harga jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap sebanyak 25 peratus menjelang akhir tahun ini, manakala harga pakej permulaan dikurangkan lebih 30 peratus.

Berita Harian X