Selasa, 26 March 2019 | 2:07pm
Model menggunakan pengimbas kod QR pada telefon bimbit untuk membeli barang ketika majlis pelancaran WeChat Pay My. NSTP/Rosela Ismail.

Malaysia negara pertama selepas China perkenal WeChat Pay MY

KUALA LUMPUR: Malaysia negara pertama selain daripada China yang menggunakan perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) WeChat Pay MY, sejajar dengan peningkatan capaian internet dan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif WeChat Pay Malaysia, Jason Siew, berkata sokongan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyokong inisiatif ke arah transaksi tanpa tunai turut menjadikannya sebagai peluang terbaik bagi mengembangkan potensi e-dompet di negara ini.

Katanya, dengan bilangan peniaga dan pengguna yang semakin bertambah, pihaknya berharap perkhidmatan e-dompet itu dapat mempertingkatkan gaya hidup digital lebih selamat dan mudah.

“Malaysia antara pasaran paling cepat berkembang dan menerima kaedah pembayaran mudah alih sebagai pilihan selain ia membantu mempermudahkan pembangunan ekonomi digital Malaysia.

“Kami percaya ia boleh dilakukan dengan meningkatkan kesedaran, pembabitan dan pendedahan teknologi untuk membawa ia ke peringkat seterusnya dalam ekosistem digital negara ini,” katanya pada majlis pelancaran WeChat Pay MY, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Tencent, Poshu Yeung.

WeChat Pay MY adalah fungsi pembayaran mudah alih WeChat, aplikasi komunikasi sosial terbesar yang dimiliki oleh syarikat teknologi, Tencent.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan menerusi e-dompet termasuk pembelian tiket penerbangan dan bas serta transaksi di gedung runcit hanya dengan mengimbas kod QR pada telefon pintar.

Setakat Disember 2018, gabungan Weixin dan WeChat mempunyai akaun pengguna aktif bulanan melebihi satu bilion, manakala WeChat Pay mempunyai lebih 800 juta pengguna aktif.

Sementara itu, ketika ini terdapat lebih daripada 3,500 peniaga mula menerima perkhidmatan WeChat Pay bagi pelbagai jenis perkhidmatan dan transaksi.

Siew berkata, antara peniaga yang menawarkan perkhidmatan menerusi WeChat Pay termasuklah Starbucks, Tealive, Syed Bistro dan KK Mart serta merancang untuk memperluas rangkaian peniaga untuk menyertainya.

Selain itu, beliau berkata syarikat akan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang mana pengguna boleh memilih serta memesan makanan dan minuman menerusi WeChat Pay.

Berita Harian X