Khamis, 23 Mei 2019 | 2:00pm

Panasonic gantung urus niaga dengan Huawei

TOKYO: Pengeluar elektronik pengguna dari Jepun, Panasonic menggantung semua urus niaganya dengan Huawei Technologies Co Ltd.

Ia susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menambah Huawei ke dalam senarai syarikat yang dianggap sebagai pengancam keselamatan negara, lapor agensi berita Sputnik, memetik media tempatan.

Penyiar FNN melaporkan bahawa syarikat Jepun itu telah menggantung semua urus niaga membabitkan Huawei dan 68 syarikat yang berkaitan dengannya.

Semalam, dua pengendali mudah alih Jepun menangguhkan pelancaran jualan telefon pintar baharu Huawei disebabkan gergasi internet AS yang menguasai pasaran telefon pintar dengan sistem operasi mudah alih Android, Google memutuskan hubungan bersama Huawei.

Satu lagi syarikat Jepun, NTT Docom, juga sudah berhenti menerima pra-pesanan untuk telefon pintar Huawei.

Presiden AS, Donald Trump melarang syarikat-syarikat AS daripada terbabit dengan urus niaga telekomunikasi bersama syarikat asing yang dikatakan mengancam keselamatan AS, di tengah-tengah perang dagangan bersama Beijing

Langkah itu menyasarkan Huawei, gergasi telekomunikasi China yang disenaraikan oleh Jabatan Perdagangan sebagai antara firma yang mana syarikat AS hanya dibenarkan berurus niaga selepas mendapatkan lampu hijau daripada pihak berkuasa.

Larangan itu termasuk perkongsian teknologi.

Mulai kini, syarikat AS dikehendaki menerima kebenaran untuk berdagang dengan syarikat telekomunikasi.

-BERNAMA

Berita Harian X