Isnin, 17 Jun 2019 | 5:07pm
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri. NSTP/Saifullizan Tamadi.

Inisiatif Premier Digital Tech diperluas

CYBERJAYA: Inisiatif Premier Digital Tech memperluaskan pengiktirafan kepada 16 institusi pengajian tinggi tempatan menerusi tambahan tiga lagi universiti baharu dalam senaraiannya iaitu HELP University, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Menerusi inisiatif itu, rakan strategik industri iaitu Amazon Web Services, CISCO, Intel, JobStreet, Microsoft, Oracle Academy, RunCloud dan SAS akan bekerja rapat dengan 16 institusi terbabit bagi menyediakan kredit perkomputeran awam percuma, modul latihan, program pensijilan, latihan mentor, dan persediaan ke alam pekerjaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Inisiatif Premier Digital Tech itu akan memastikan rakyat bersedia dengan kemahiran meneroka bidang baharu kritikal seperti Analisis Data, Kepintaran Buatan (AI), Robotik, dan Pemasaran Digital.

Katanya, inisiatif yang dibangunkan kementerian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 2017 itu akan menyediakan ekosistem optimum bagi menyediakan graduan menepati standard terkini industri.

“Bakat baharu adalah kunci menjayakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) Malaysia, bahkan perkembangan pesat industri di dunia kini turut membincangkan IR5.0 menyebabkan kita perlu menyediakan bakat tempatan untuk keperluan kerja masa depan.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada rakan strategik industri yang memberi sokongan kepada inisiatif ini dan tahniah institusi pengajian baharu yang tersenarai dalam pengiktirafan berprestij ini, semoga menjadi contoh kepada insitusi tempatan yang lain," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, berkata inisiatif itu adalah bukti impak besar yang memberi kesan ketara kepada ekonomi digital  Malaysia hasil kerjasama kukuh antara rakan strategik.

Tahun lalu, katanya, graduan daripada Inisiatif Premier Digital Tech menyaksikan kadar pengambilan kerja mencecah 95 peratus, dengan pendapatan 1.5 kali lebih tinggi berbanding purata nasional.

“Maka pengumuman hari ini (semalam) menyaksikan tambahan senarai penerima pengiktirafan inisiatif dan sokongan padu peserta industri utama bagi melahirkan bakat baharu yang mampu memacu pertumbuhan digital ekonomi global pada masa depan," katanya.

Berita Harian X