Rabu, 30 Oktober 2019 | 9:22pm
Foto Hiasan.

e-dompet aplikasi paling aktif diguna di Malaysia

KUALA LUMPUR: Aplikasi e-dompet Grab, Touch n Go, Boost dan Fave adalah antara aplikasi paling aktif digunakan di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Satu penyelidikan yang dijalankan oleh App Annie Intelligence, platform analisis dan data mudah alih bersama-sama iPrice Group, platform agregator di Asia Tenggara, aplikasi Grab menerajui aplikasi yang paling aktif digunakan.

Iprice satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah aplikasi paling banyak dimuat turun.

“Bagaimanapun, tidak seperti aplikasi mudah alih lain, Grab dikategorikan sebagai aplikasi hebat, menggabungkan perkhidmatan perjalanan, makanan, penghantaran dan perkhidmatan lain di bawah satu aplikasi,” katanya.

Sementara itu, e-dompet Touch n’ Go menduduki tempat kedua bagi aplikasi paling kerap dimuat turun pada suku ketiga 2019.

Iprice berkata melihat kepada prestasinya pada tahun-tahun sebelum ini, e-dompet Touch n’ Go merupakan antara aplikasi pembayaran mudah alih yangberkembang pantas di negara ini.

Aplikasi e-dompet mempunyai lebih daripada lima juta pengguna berdaftar buat masa ini.

Kajian itu dijalankan untuk menganalisis aliran e-dompet terpenting dan penggiat utama di Malaysia pada masa ini, bagi menyokong visi negara sebagai negara tanpa tunai seperti dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Penggunaan e-dompet di Malaysia berkembang pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan pertumbuhan yang dipacu oleh usaha kerajaan dan pemasaran aktif oleh pelbagai syarikat.

Dengan kadar penembusan Internet yang tinggi iaitu 80 peratus dan penembusan telefon pintar sebanyak 63 peratus, unjuran bagi pembayaran digital dan eDompet menyaksikan peluang cerah pada 2020 dan di masa akan datang.

Selain itu, Boost yang dilancarkan pada 2017 dengan sokongan Axiata Group pula kekal konsisten sebagai satu daripada e-dompet terkemuka di Malaysia.

Ketika ini e-dompet berada di kedudukan ketiga bagi kategori pengguna bulanan paling aktif dan jumlah muat turun di Malaysia pada suku ketiga 2019 dengan mempunyai lebih 61,500 rakan niaga dan lebih 3.5 juta pengguna.

Menurut iPrice,dalam kajian tersebut, Fave kekal sebagai penggiat terkemuka bagi e-pembayaran dengan menduduki tempat keempat bagi aplikasi paling aktif digunakan.

“Bagaimanapun, tidak seperti aplikasi lain, FavePay tidak mengklasifikasikan dirinya sebagai e-dompet secara ekslusif berbanding agregator pembayaran lain yang membolehkan pengguna menggunakan kad kredit, kad debit atau e-dompet dalam aplikasinya,” katanya.

Fave yang ketika ini mempunyai lebih empat juta pelanggan dalam rangkaiannya menunjukkan potensi cerah untuk menjadi aplikasi hebat di rantau Asia Tenggara.

– BERNAMA

Berita Harian X