Ahad, 19 Januari 2020 | 5:25pm
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck ketika menunjukkan simbol 5G pada kes kegunaan 5G U Mobile di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck ketika menunjukkan simbol 5G pada kes kegunaan 5G U Mobile di sini hari ini. - Foto BERNAMA

U Mobile peruntuk RM300 j tingkat keupayaan 5G

LANGKAWI: U Mobile Sdn Bhd memulakan perjalanan perniagaan 5G dengan memperuntukkan RM300 juta untuk merombak operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heang Tuck.

Beliau berkata, syarikat memperuntukkan RM100 juta untuk menambah baik perkhidmatan terasnya untuk menyokong perkhidmatan 5G dan RM200 juta lagi untuk mengukuhkan sistem bil.

Bercakap pada taklimat media hari ini, katanya perkhidmatan teras dijadualkan menjadi sedia 5G pada pertengahan tahun ini.

“Langkah rombakan semasa hanya meliputi ‘back-end’, belum lagi ‘front-end’. Oleh itu, lebih banyak pelaburan akan dibuat,” katanya.

Mengenai sistem bil, katanya sistem sedia ada akan ditambah baik untuk memastikan ketepatan dalam setiap caj.

Mengenai masa depan, Heang Tuck berkata, U Mobile akan memberi fokus kepada tiga vertikal tumpuan iaitu penjagaan kesihatan yang diupayakan oleh 5G, revolusi perindustrian keempat (IR 4.0) dan perkhidmatan e-sukan.

Beliau berkata, vertikal itu dijangka menjadi antara yang pertama menggunakan dan mengambil peluang daripada manfaat penuh 5G dan potensi tanpa hadnya.

Mengulas mengenai pelaksanaan teknologi 5G di negara ini, beliau berkata, kesedaran dalam kalangan perniagaan mengenai manfaatnya masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

“Itu sebabnya semua pengendali syarikat telekomunikasi berada di sini untuk menunjukkan potensi dan bidang yang dapat dimanfaatkan.

“Pada asasnya, aplikasi 5G bergantung kepada kesediaan syarikat untuk menerima pakai transformasi digital untuk meraih manfaat daripada teknologi tersebut,” katanya.

Bagi pengguna, Heang Tuck berkata, teknologi itu akan digunakan secara meluas dengan pelancaran lebih banyak telefon pintar 5G dan peranti lain, sambil menambah mereka akan memperoleh kelajuan ratusan kali lebih pantas daripada 4G.

U Mobile adalah antara syarikat yang sedang menjalankan projek demonstrasi 5G di sini.

Syarikat itu menjalankan lima kes penggunaan di pulau ini seperti rundingan jarak jauh dengan MEDCOM CBMTI, iaitu peranti teleperubatan yang diupayakan oleh 5G membolehkan doktor menawarkan rundingan kepada pesakit dari jauh dan yang memanfaatkan perkhidmatan itu pada masa ini ialah Hospital Sultanah Maliha di sini.

U Mobile dan CBMTI turut mengusahakan rundingan GP jarak jauh dengan DoctorOnCall dan mereka membangunkan, DOCpod, platform dalam talian yang membolehkan pesakit untuk menerima rundingan dari jauh daripada doktor yang berkelayakan.

U Mobile turut memulakan kes penggunaan dalam pelancongan realiti maya, permainan realiti maya dan akses tanpa wayar tetap.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat projek demonstrasi 5G vertikal penjagaan kesihatan di Hospital Sultanah Maliha hari ini.

Dr Mahathir dijadualkan merasmikan projek demonstrasi 5G Malaysia di sini malam ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X