Selasa, 25 Februari 2020 | 9:50am
Telefon pintar HUAWEI Mate Xs. - Foto REUTERS
Telefon pintar HUAWEI Mate Xs. - Foto REUTERS

Huawei perkenal Mate Xs

BARCELONA: Firma pengeluar telefon pintar terkemuka China, Huawei, melancarkan telefon lipat Mate Xs yang menampilkan ciri canggih menepati cita rasa dan gaya hidup segenap segmen.

Mate Xs menjadi telefon pintar Huawei yang dikemas kini yang mempunyai reka bentuk engsel baharu lebih tegap dan kamera yang dinaiktaraf.

Model ini akan memasuki pasaran Malaysia pada 20 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, ketika mengumumkan penampilan Mate Xs berkata, peranti mewah itu dilengkapi pemproses Kirin 990 dengan sambungan teknologi 5G cip SoC.

Beliau menjelaskan, peranti yang disifatkan antara yang tercanggih pernah dihasilkan Huawei akan berada di pasaran global bulan depan.

“Ia ditampilkan di Eropah pada harga €2,499 (RM11,468) dengan versi mudah dibaca berasaskan teknologi Android 10.

“Dimensi Mate Xs adalah skrin utama bersaiz 6.6 inci atau 167.64 milimeter (mm) apabila dilipat dan menjadi selebar 8 inci (203.2 mm) apabila dibuka.

“Paparannya dihasilkan daripada dua lapisan fleksibel, dua helaian filem poliamida bersama pelekat optik yang jelas,” katanya pada sidang media menerusi maya dari China bagi memperkenalkan produk terbabit di sini, semalam.

Mate Xs mempunyai reka bentuk yang sama dengan ‘abangnya’ Mate X yang dilancarkan di China pada November lalu.

“Telefon pintar lipat baharu ini dilengkapi perisian Android namun tiada aplikasi dan perkhidmatan Google, sebaliknya dimuatkan dengan perisian Galeri Aplikasi Huawei,” kata Yu.

Beliau turut mengumumkan pelancaran tablet terbaharu Huawei, MatePad Pro 5G yang dilengkapi dengan stylus magnet dan pad kekunci.

“Harga ditawarkan adalah €549 (RM2,520). Peranti ini mempunyai paparan 10.8 inci ( 274.32 mm) dan senipis 4.9mm,” katanya.

Yu berkata, Huawei turut menawarkan komputer riba dinaik taraf menerusi versi baru MateBook X Pro dan MateBook.

“Kedua-duanya mempunyai pemproses berkapasiti Intel Core I7 ke-10 dan sistem penyejukan Shark Fin 2.0 Huawei,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X