Isnin, 20 April 2020 | 10:27pm
Sunway Innovation Labs
Sunway Innovation Labs

Sunway iLabs anjur program latihan percuma e-dagang PKS

KUALA LUMPUR: Sunway Innovation Labs (Sunway iLabs) akan menganjurkan Program Jumpstart e-Dagang, program latihan empat minggu percuma untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pengusaha runcit untuk membantu perniagaan diniagakan secara dalam talian.

Program ini dianjur oleh Sunway iLabs dan Sunway University dengan kerjasama banyak pemimpin industri, termasuk Alibaba.com, agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cradle Fund, dan juara-juara digital dalam ekosistem ity.

Sunway iLabs dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, Program Jumpstart e-Dagang itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat sebagai tindak balas terhadap krisis COVID-19, yang bertujuan untuk membantu pengusaha runcit dan PKS Malaysia dalam perjalanan transformasi digital mereka untuk mengatasi kemerosotan ekonomi ketika ini.

Pelancaran program itu akan berlangsung pada 27 April, bermula dengan ucaptama Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Brian Wong.

Program 12 jam, empat minggu itu akan merangkumi asas-asas pada minggu pertama, strategi e-dagang pada minggu kedua, langkah-langkah pragmatik untuk membuat perniagaan dalam talian pada minggu ketiga, serta kandungan dan pemasaran digital pada minggu keempat.

Ketua Pegawai Inovasi Kumpulan Sunway dan Pengarah Sunway iLabs, Matt Van Leeuwen, berkata program itu bertujuan membantu perniagaan berniaga secara dalam talian untuk kelangsungan mereka dan membantu mengukuhkan kedudukan mereka di dalam persekitaran wabak itu.

“Sekiranya ada sesuatu perkara yang timbul akibat situasi COVID-19, ia adalah keperluan penting bagi PKS di luar talian (tidak berniaga secara dalam talian) untuk menggunakan strategi ‘brick-and-click’ (berniaga secara dalam talian dan di luar talian).

“Program Jumpstart e-Dagang bermaksud untuk membantu mereka melaksanakan penyelesaian digital untuk perniagaan mereka melalui kurikulum dan bimbingan terstruktur dari pakar digital,” katanya.

Keseluruhan program ini akan disampaikan di dalam talian dan disasarkan untuk memberi manfaat terutamanya kepada usahawan dan PKS di ruang niaga yang mahu memantapkan perniagaan mereka secara dalam talian.

Program ini terbuka untuk mana-mana pengusaha runcit dan PKS Malaysia.

Pada akhir program, pertandingan akan dianjurkan di mana pemenang akan dapat memenangi pengecualian yuran 100 peratus bernilai RM12,500 untuk Program Alibaba Global eCommerce Talent (GET)

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X