Rabu, 22 April 2020 | 11:47am
Data laporan Opensignal diambil daripada 572,559 peranti
Data laporan Opensignal diambil daripada 572,559 peranti

Maxis kekal pengendali Internet terpantas

KUALA LUMPUR: Maxis kekal sebagai syarikat telekomunikasi terpantas di Malaysia apabila mencatatkan kelajuan muat turun dan muat naik tertinggi berbanding pengendali rangkaian lain, menurut laporan Pengalaman Rangkaian Mudah Alih Malaysia oleh Opensignal.

Menurut laporan itu, Maxis merekodkan purata kelajuan 20.4 megabit sesaat (Mbps) untuk muat turun dan 7.7 Mbps bagi muat naik.

“Celcom, DiGi dan Umobile pula masing-masing mencatatkan kepantasan 12.7 Mbps, 11.6 Mbps dan 7.4 Mbps untuk muat turun serta 7.3 Mbps, 4.6 Mbps dan 6.1 Mbps bagi muat naik.

“Unifi pula menunjukkan peningkatan menggalakkan kali ini dari segi kepantasan muat turun apabila mencatatkan kelajuan 7.0 Mbps dan muat naik 2.5 Mbps berbanding laporan sebelumnya,” menurut laporan itu.

Pengumpulan data untuk laporan itu dibuat dari 1 Disember tahun lalu hingga 28 Februari 2020 membabitkan 572,559 peranti dan 1.125 bilion pengukuran.

Dari segi liputan 4G paling meluas, ia kekal diterajui oleh Celcom apabila pengguna rangkaian itu mampu mencari hubungan 4G sebanyak 89.7 peratus pada setiap masa diikuti Maxis (86.6 peratus) dan Unifi 83.7 peratus.

“Celcom juga menerajui pengalaman liputan 4G di Malaysia apabila mendapat markah 8.7 mata daripada 10 diikuti Maxis dan DiGi yang seri dengan 8 markah,” katanya.

Secara keseluruhan, Maxis mengungguli lima daripada lapan kategori pengalaman rangkaian mudah alih iaitu Pengalaman Video; Pengalaman Permainan; Pengalaman Kepantasan Muat Naik; Pengalaman Kepantasan Muat Turun dan Pengalaman Latensi.

Celcom mengungguli dua kategori manakala Unifi mendahului satu lagi kategori.

Berita Harian X