Ahad, 17 Mei 2020 | 2:33pm
Semakin ramai majikan beralih kepada kaedah temuduga maya bagi tujuan pengambilan pekerja
Semakin ramai majikan beralih kepada kaedah temuduga maya bagi tujuan pengambilan pekerja

Pencari kerja perlu kuasai temuduga maya

KUALA LUMPUR: Pencari kerja perlu menguasai temuduga secara maya berikutan semakin ramai majikan yang beralih kepada kaedah itu untuk tujuan pengambilan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Temuduga maya adalah temuduga yang dilakukan dari jarak jauh, kadangkala melalui telefon, namun sering menggunakan teknologi seperti persidangan video dan platform komunikasi dalam talian yang lain.

Pengurus Pembangunan Tenaga Kerja Dagang NeXchange Bhd, Zety Zalina Mohd Zain, berkata kunci kepada kejayaan temuduga video ialah calon perlu bersedia untuk melengkapkan diri mereka dengan alat teknologi yang diperlukan dan mengujinya terlebih dahulu.

"Pastikan anda bersedia untuk itu sama seperti anda lakukan untuk temuduga secara langsung. Sediakan jawapan yang sesuai untuk soalan yang sering ditanyakan semasa temuduga supaya tidak tersekat-sekat semasa temuduga dalam talian," katanya.

Ketua Sumber Manusia Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, Mohd Ghaus Omar, berkata pencari kerja juga perlu mempunyai kemahiran teknikal yang mencukupi dalam menggunakan teknologi untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Katanya, adalah penting bagi calon untuk memastikan sambungan Internet yang stabil untuk temu bual berikutan ia boleh mengecewakan apabila talian tidak stabil.

Dalam perkembangan lain, Dagang NeXchange berkata, pihak pengambilan boleh memanfaatkan pendigitalan untuk penambahbaikan proses seperti Dagang Net eScroll, platform inovatif disokong blockchain untuk majikan, siswazah, universiti dan penyedia latihan untuk mengesahkan sijil akademik dan latihan.

Boleh didapati melalui https://escroll.dagangnet.com/ dan aplikasi mudah alih di Google Play Store, perkhidmatan itu dapat mencegah pemalsuan, tidak seperti dokumen berasaskan kertas yang tradisional.

Berita Harian X