Jumaat, 24 Julai 2020 | 4:32pm
HSBC Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai MoU tumpu penggunaan teknologi
HSBC Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai MoU tumpu penggunaan teknologi

HSBC, MDEC pacu lonjakan digital syarikat tempatan

KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai memorandum persefahaman (MOU) yang akan memberi fokus kepada penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat besar tempatan dan syarikat multinasional (MNC) dalam negara.

Pemeteraian MOU adalah yang pertama antara kedua-dua organisasi yang mengetengahkan peranan penting perkongsian awam-swasta dalam usaha mengekang kesan buruk COVID-19 ke atas perniagaan di Malaysia dengan menggalakkan syarikat menggunakan pendigitalan.

Ia akan mengenal pasti pelaburan yang disasarkan, merangkumi pelbagai sektor termasuk teknologi, penjagaan kesihatan, elektronik, pembuatan, pendidikan dan banyak lagi dari beberapa negara termasuk tetapi tidak terhad kepada China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jepun.

"Inisiatif ini akan menjadi penting dalam mendorong Malaysia bergerak maju sebagai pusat kuasa digital global terkemuka," kata HSBC Malaysia dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Malaysia, Stuart Milne, berkata kerjasama itu akan membantu mewujudkan peluang pada masa-masa kesukaran menerusi penggunaan teknologi yang berkesan.

"COVID-19 telah meningkatkan keperluan untuk perniagaan dari semua saiz untuk membabitkan penyelesaian digital inovatif dan strategi ke dalam operasi harian mereka," katanya.

Sementara itu, CEO MDEC, Surina Shukri berkata, syarikat seperti HSBC memiliki pengetahuan pasaran, sumber, jaringan mapan dan pengesahan yang ingin dicapai syarikat, manakala syarikat teknologi pula memiliki ketangkasan dan idea bernas yang dihargai syarikat.

"Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama korporat dalam menarik pelaburan digital ke dalam negara serta menjayakan hasrat Malaysia menjadi 'Heart of Digital ASEAN'," katanya.

Perjanjian itu turut merangkumi penyediaan khidmat nasihat dan perkhidmatan perbankan lain kepada PKS, korporat tempatan besar dan syarikat multinasional yang ingin memasuki pasaran atau mengembangkan perniagaan di dalam negara.

-BERNAMA

Berita Harian X