Jumaat, 9 Jun 2017 | 3:21pm

Tingkat pembabitan swasta dalam inovasi - MaGIC


AHMAD Maslan (kiri) dan Ashran Ghazi semasa majlis pelancaran program MaGIC Tanggungjawab Keusahawanan Korporat (CER) Circle dan MaGIC Activate di Cyberjaya. - Foto Rosela Ismail

CYBERJAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan program MaGIC Tanggungjawab Keusahawanan Korporat (CER) Circle dan MaGIC Activate bagi meningkatkan pembabitan usahawan dan korporat

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi, berkata kedua-dua program terbabit akan membantu MaGIC untuk mencapai RM100 juta penciptaan nilai dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi cabaran inovasi.

Jelas beliau, cabaran inovasi berkenaan akan ditawarkan melalui beberapa syarikat terpilih kepada 3,000 komuniti perniagaan baharu. 

"MaGIC CER Circle adalah platform berbentuk 'keahlian' yang menghubungkan syarikat korporat dengan komuniti perniagaan baharu untuk memanfaatkan teknologi terkini yang mampu mengubah pasaran sedia ada. 

"Sementara itu, program MaGIC Activate pula bertujuan membantu syarikat dan organisasi menganjurkan pertandingan cabaran inovasi yang dapat mengetengahkan lebih ramai usahawan serta komuniti perniagaan baharu. 

"Malaysia mempunyai ramai usahawan yang berbakat, tetapi mereka perlu galakan, panduan, bimbingan serta sokongan kewangan. Atas dasar inilah kita adakan program seumpama ini,"katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis pelancaran program terbabit oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Antara rakan kongsi korporat dan komuniti bagi MaGIC CER ialah Media Prima Digital, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Microsoft, Grab, Allianz, AIA dan Cyberview.

Ashran berkata, pembabitan swasta dalam pembangunan inovasi dan keusahawanan negara berada pada tahap yang membimbangkan berbanding perkembangan sektor itu pada peringkat antarabangsa.

80 dibaca
Berita Harian X