Jumaat, 28 Julai 2017 | 12:09am
NORLEEN menunjukkan hijab bermotif Borneo yang direka olehnya. - Foto Mohd Adam Arinin
NORLEEN (dua dari kiri) menerangkan kepada wartawan mengenai rekaan hijab bermotif Borneo yang direkanya ketika ditemui di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
ANTARA corak pada rekaan tudung jenama Borneo and Branche'. - Foto Mohd Adam Arinin
NORLEEN berhasrat menghasilkan lebih banyak koleksi tudung bermotifkan Borneo. - Foto Mohd Adam Arinin
NORLEEN (kanan) menyelaraskan semua koleksi tudung bawal dan selendang pada harga RM79 kerana beranggapan ia bertepatan dengan konsep mampu milik. - Foto Mohd Adam Arinin

Pemegang lesen juruterbang jual hijab

KOTA KINABALU: Walaupun memiliki lesen penerbangan yang membolehkannya bertugas di awan biru menerbangkan pesawat komersial, wanita kelahiran Kota Kinabalu, Norleen Sukaimi, 32, sebaliknya memilih untuk 'berada di daratan' menceburi bidang perniagaan.

Meninggalkan peluang menyertai kerjaya 'glamor' sebagai juruterbang yang didominasi golongan lelaki, wanita perwatakan lemah-lembut ini mengambil keputusan berani mendalami perniagaan hijab berasaskan motif Borneo.

Mesra disapa dengan panggilan Leen, pengasas tudung jenama Borneo and Branche' itu berkata, walaupun pernah terfikir untuk menjadi juruterbang, apa lagi mengikut jejak bapanya yang pernah bertugas dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), minat terhadap perniagaan lebih dominan dalam dirinya.

"Saya mempunyai lesen juruterbang komersial (CPL) dan sudah menghabiskan penerbangan selama 200 jam daripada Asia Pacific Flight Training di Kota Kinabalu.

"Walaupun boleh meneruskan latihan penerbangan bagi mendapatkan lesen penuh untuk mengendalikan pesawat komersial, namun semakin hari kemahuan bergelar usahawan dalam bidang fesyen lebih menebal. 

"Oleh itu, saya mengambil keputusan membuka perniagaan berasaskan fesyen muslimah yang semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan wanita muslim," katanya yang mengusahakan pelbagai fesyen tudung di bawah label Borneo and Branche'.

Bagi golongan hawa yang mahu tampil berbeza, jenama Borneo and Branche' menjanjikan kelainan dengan menampilkan koleksi tudung bawal dan selendang bermotifkan Borneo.

Norleen berkata, motif Borneo adalah corak yang menjurus kepada flora dan fauna dengan corak di Sabah berbentuk geometri, berbanding Sarawak yang lebih beralun.

Walaupun masih baru memasuki pasaran fesyen muslimah, lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Ijazah Sarjana Muda Geologi itu yakin kelainan ditampilkan dalam seleksi hijab diasaskannya mampu menarik perhatian penggemar fesyen muslimah tanah air.

Norleen berkata, minat mengumpul dan menggayakan aksesori berunsurkan motif Borneo memberi idea buatnya menghasilkan tudung daripada motif berkenaan dengan ia mula dipasarkan secara atas talian sejak April lalu.

Katanya, pembabitan dalam perniagaan tudung yang dijalankan secara atas talian itu pada asalnya hanya berlandaskan minat, selain gemar menggayakan aksesori corak Borneo seperti rantai, gelang dan anting-anting.

"Saya memang pengumpul dan gemar memakai aksesori seumpama ini sejak dahulu lagi ketika belum mengenakan hijab.

 

"Apabila mengambil keputusan bertudung sekitar dua tahun lalu, saya terfikir cara untuk mengekspresikan corak yang ada pada aksesori ini kerana sukar menggayakan perhiasan seperti rantai dan anting-anting.

"Oleh itu, saya mula mencari inisiatif mengetengahkan corak ini dengan cara tersendiri dan memandangkan baru mengenakan tudung, timbul idea menghasilkan tudung sendiri dengan mengambil corak pada aksesori Borneo untuk diterjemahkan ke atas kain tudung," katanya.

Menurutnya, walaupun baru memulakan perniagaan itu, sambutan diterima daripada kalangan pelanggan amat baik, malah menarik perhatian mereka yang bukan beragama Islam.

"Permulaan ini saya memilih mengetengahkan motif Pinakol daripada suku kaum Rungus dan pemandangan matahari terbenam, selain bangunan bersejarah sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

"Ia bagaikan suatu kelebihan kerana Sabah mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama. Apabila menghasilkan tudung ini, secara tidak langsung individu yang bukan beragama Islam daripada kaum Rungus, pasti tertarik untuk memiliki produk jenama kami.

"Tudung adalah suatu produk universal. Ia bukan sahaja dijadikan hijab menutup aurat wanita namun sesuai digayakan sebagai selendang atau aksesori tambahan pada pakaian dan beg tangan," katanya.

Buat permulaan, tudung dihasilkannya menampilkan tiga motif manik Rungus utama iaitu Vinusak (bunga baru tumbuh), tunas kayu dan bangunan ikonik Kota Kinabalu.

Hijab bagi koleksi Vinusak dan bangunan ikonik Kota Kinabalu terdiri daripada tiga warna bagi setiap koleksi, selain pilihan antara tudung bawal dan selendang manakala corak tunas kayu pula hanya dalam koleksi tudung bawal sahaja.

"Saya juga menyelaraskan semua koleksi tudung bawal dan selendang pada harga RM79 kerana beranggapan ia bertepatan dengan konsep mampu milik," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Berkongsi perancangan masa depan dalam perniagaan fesyen, Norleen berhasrat menghasilkan lebih banyak koleksi tudung bermotifkan Borneo yang merangkumi semua suku kaum di Sabah dan Sarawak.

"Ini perancangan jangka masa panjang tetapi bukanlah perkara mudah kerana perlu melakukan kajian bagi memastikan tidak berlaku kesilapan serta mengganggu sensitiviti masyarakat.

"Selain itu, saya mahu mengembangkan jenama ini dengan mengeluarkan koleksi pakaian bagi wanita, lelaki dan kanak-kanak," katanya.

INFO - Borneo and Bronche'

  • Jenama tudung mengetengahkan motif Borneo.
  • Pilihan tudung bawal dan selendang.
  • Menampilkan 3 motif manik Rungus utama iaitu Vinusak (bunga baru tumbuh), tunas kayu dan bangunan ikonik Kota Kinabalu.
  • Setiap koleksi berharga RM79.
  • Vendor di Majeedah Wraps, Lintas Jaya dan Borneo Chantek Gallery.
Berita Harian X