Khamis, 10 Ogos 2017 | 7:49pm
PENGURUS Besar Agrobazaar Malaysia di Singapura, Noor Hisham Mohamad Sainan (dua dari kiri) menukar dokumen perjanjian kepada Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian Sabah (DiDR), Patrik Tan (dua dari kanan),  Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abd Shukur Idrus (tiga dari kiri) dan Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri, Hashim Paijan (empat dari kanan). - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Promosi Selangor Month catat peningkatan jualan

SINGAPURA: Promosi Selangor Month yang sedang berlangsung di semua Agrobazaar Malaysia di republik ini berjaya mencatatkan nilai jualan sehingga RM30,000 hanya dalam tempoh seminggu selepas ia bermula.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan nilai jualan lima kali ganda berbanding sebelum promosi bermula iaitu sekitar RM7,866.

Katanya, sehingga kini sebanyak 57 usahawan membabitkan 260 produk sudah dibawa dan diketengahkan di Agrobazaar Malaysia seluruh republik itu termasuk di Pusat Halal Malaysia yang terletak di Big Box, Jurong East di sini.

"Sebelum ini kita sudah berjaya membawa 42 usahawan dan bagi promosi kali ini yang bermula pada 15 Julai lalu sehingga 31 Ogos ini, kita berjaya menambah 15 lagi usahawan dari Selangor.

"Semua 57 usahawan terbabit membawa 12 kategori produk antaranya sejuk beku, minuman, snek dan makanan proses, bagaimanapun kita meletakkan fokus lebih kepada produk sejuk beku yang kini mendapat permintaan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian promosi Selangor Month di Pusat Halal Malaysia di Agrobazaar Malaysia Big Box di Jurong East dekat sini, hari ini.

Abdul Ghariff berkata, pihaknya akan melakukan promosi berterusan dan berharap lebih ramai lagi usahawan daripada negeri itu dapat menceburkan diri dalam pasaran di Singapura seterusnya menembusi pasaran negara lain di rantau ini.

Dalam program sama, turut berlangsung majlis menandatangani pelantikan Agrobazaar Malaysia sebagai pengedar produk Industri Asas Tani (IAT) Sabah bersama Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian Sabah (DiDR).

DiDR diwakili Pengarahnya, Patrik Tan, manakala Agrobazaar Malaysia diwakili Pengurus Besarnya, Noor Hisham Mohamad Sainan.

135 dibaca
Berita Harian X