Isnin, 25 September 2017 | 3:30pm

CGC sedia perkhidmatan tambahan bantu PKS

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd (CGC Malaysia) menawarkan perkhidmatan tambah nilai lebih pelbagai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada masa depan.

Ia termasuk menawarkan khidmat nasihat dan memberi jaminan kredit merentas sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata sebagai peneraju penyedia dan penyokong PKS di Malaysia, CGC Malaysia akan terus membimbing dan membantu PKS tempatan menjadi lebih berani dalam strategi mereka untuk bergerak ke tahap berikutnya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira senario industri semasa yang menyaksikan peningkatan persaingan antara pelbagai institusi kewangan dan bukan kewangan dalam menyediakan penyelesaian kewangan kepada PKS.

"Kami bergerak ke arah menawarkan perkhidmatan tambah nilai lain seperti menawarkan khidmat nasihat.

"Ini adalah platform yang kami berkongsi, melangkaui hanya sebagai penjamin kredit PKS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Latihan Gabungan Institusi Kredit Tambahan Asia (ACSIC) 2017 (ATP 2017) ke-27, di sini, hari ini.

ATP 2017 mengumpulkan 46 peserta daripada 14 institusi jaminan kredit, mewakili 10 negara anggota ACSIC, seperti Indonesia, Jepun, Malaysia, Mongolia, Nepal, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand.

Sementara itu, seorang peserta industri yang ditemui berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan kemungkinan membenarkan jaminan kredit merentas sempadan.

Beliau berkata, ia bertujuan membantu PKS asing mendapatkan pinjaman daripada bank dan institusi kewangan tempatan.

"Ia sedang dibincangkan negara anggota ACSIC. PKS asing sangat memerlukan jaminan kredit apabila membuat pinjaman daripada bank tempatan.

"Tetapi, saya tidak fikir ia dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat. Paling awal, saya jangka ialah tahun depan," katanya sambil menambah ia juga memperluaskan lagi matlamat ACSIC dalam mempromosi dan membangun sistem kredit tambahan untuk PKS di rantau Asia Pasifik.

INFO:

CGC Malaysia

  • Ditubuhkan 5 Julai 1972
  • 78.65 peratus dikuasai Bank Negara Malaysia
  • Baki kepentingan dikuasai pelbagai bank komersial
  • Perniagaan teras membantu IKS mendapatkan kemudahan kredit

Berita Harian X