;
Selasa, 17 Oktober 2017 | 3:49pm
PENTERNAK muda, Mohd Azizi Zuraidi Jusoh, 37 menunjukkan sijil penghargaan Penternak Ikan Jaya 2017 yang diterimanya dari Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di sambutan Hari Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dari hobi menjadi pendapatan lumayan

TUMPAT: Bermula sekadar hobi dalam penternakan ikan keli, Mohd Azizi Zuraidi kini menjadi penternak muda apabila memperoleh pendapatan bersih RM7,000 sebulan.

Sejak tujuh tahun lalu, penternakan keli diusahakan lelaki berusia 37 tahun itu dengan hanya sebuah kolam yang digali di belakang rumahnya di Kampung Hulu Stesen, Wakaf Bharu.

Namun kini, penternakan keli yang diusahakannya di tanah seluas 0.4 hektar sudah berkembang menjadi lapan kolam.

Mohd Aziz berkata, beliau memulakan penternakan itu dengan menggunakan modal hasil wang simpanannya sebanyak RM10,000.

"Dengan modal itu, saya menambah bilangan kolam apabila melihat sambutan yang diterima pembeli semakin menggalakkan.

"Saya mendapat permintaan dari luar daerah namun buat masa sekarang hanya membekalkan kepada pemborong di sekitar Wakaf Bharu kerana bekalan sangat terhad," katanya ketika ditemui di sambutan Hari Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu, hari ini.

Beliau antara lapan penerima anugerah yang cemerlang dalam bidang penternakan, pertanian dan pembuatan makanan sempena program yang berlangsung selama dua hari itu.

Majlis penutup Program Hari Tani DUN Wakaf Bharu itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mohd Azizi berkata, pendapatan bersihnya hasil dari penternakan ikan keli adalah sebanyak RM7,000 sebulan dan beliau berhasrat untuk menambah bilangan kolam ternakan bagi menampung permintaan dari pembeli dan pemborong.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, penganjuran program itu adalah bagi menggalakkan orang ramai menyertai bidang pertanian dan penternakan yang mampu menjana pendapatan lumayan.

1323 dibaca
Berita Harian X