Rabu, 14 November 2018 | 2:53pm
Faizal Mohd Yusof berucap pada Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

500 PKS dikenalpasti untuk program Penilaian Kesediaan Industry4WRD

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam sektor pembuatan di seluruh negara sedang dikenalpasti di bawah program Penilaian Kesediaan Industry4WRD (Industry4WRD) bagi membantu kelancaran mereka beralih kepada teknologi Industri 4.0 mulai tahun depan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Pelaburan dan Fasiliti Perdagangannya, Faizal Mohd Yusof, berkata 500 PKS itu adalah kumpulan pertama program peralihan itu sebelum ia dibuka kepada sektor lain.

Beliau berkata, ia selari pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2019 baru-bari ini yang memperuntukkan sebahagian daripada RM210 juta untuk program penilaian kesediaan itu bagi tempoh 2019 hingga 2021.

Beliau berkata demikian pada Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Komersial Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah; Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Investment Bank Bhd, Lee Jim Leng; dan Naib Presiden Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd, Yong Yoon Kit.

Sementara itu, Yoon Kit berkata, inisiatif itu menunjukkan kerajaan mengiktiraf akan pentingnya menyegerakan teknologi Industri 4.0 selain kesannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Bagaimanapun, katanya bagi merealisasikan kejayaan teknologi Industri 4.0 syarikat perlu memahami kesesuaian sesuatu teknologi itu kepada keperluan syarikat dan perlu komited untuk berubah, selain kesediaan untuk melabur.

"Komitmen harus datang daripada pihak pengurusan hinggalah kepada pekerja bawahan dan proses pengurusannya adalah penting," katanya.

Bursa-HLIB Stratum Focus Series VII mengumpulkan pakar industri dan peserta pasaran kewangan untuk duduk berbincang berhubung tinjauan dan peluang daripada Industri 4.0.

Berita Harian X