Ahad, 25 Ogos 2019 | 3:48pm
Siti Norain Syafiqah menunjukkan produk Mee Aniq. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Sasar Mee Aniq di pasar raya di Sabah

KOTA KINABALU: Bermula dengan hanya menjual mi keluaran kilang kecil ibunya di pasar sekitar Membakut dan Beaufort selain pembelian terus dari rumah, kini peniaga Mee Aniq, Siti Norain Syafiqah Abdullah, mampu berbangga apabila jenama itu semakin dikenali di negeri ini.

Siti Norain Syafiqah, 22, bersama ibunya, Siti Noraidah Michael Abdullah, 56, yang juga pemilik dan pengurus Pemborong SNS kini berusaha merealisasikan impian untuk memasarkan mi di pasar raya di negeri ini.

“Inilah impian Ain dan mama (yang juga ibu tunggal) supaya produk yang kami usahakan sejak 2007 dipasarkan di pasar raya di negeri ini.

“Usaha ke arah itu sedang dilakukan malah mi keluaran kami juga sudah ada pembungkusan yang baharu sejak awal bulan ini. Kami berharap dapat merealisasikan impian ini.

“Selain dijual di pasar sekitar Beaufort, Sipitang, Membakut dan Kuala Penyu, mi ini juga dijual di beberapa kedai runcit di daerah berkenaan termasuk di Pekan Sabindo, di Kinarut. Ada juga yang membuat tempahan pembayaran tunai semasa serahan (COD) terutama dari Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di sini hari ini.

Mee Aniq yang boleh diperoleh dalam bentuk mi kering dan mi basah itu turut mendapat sijil halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Ain yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia mula membantu ibunya membuat mi sejak berusia 10 tahun.

“Pada mulanya ibu hanya ada dua mesin untuk membuat mi yang dibantu oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tetapi kini kami sudah ada enam mesin semuanya, dengan empat pekerja sepenuh masa.

“Untuk mi kering, pengeluaran kami adalah kira-kira 900 bungkus seminggu, manakala untuk mi basah pula pengeluaran adalah setiap hari iaitu antara 250 kilogram hingga 300 kilogram sehari.

“Lazimnya, pada musim perayaan, pengeluaran mi kami lebih dua kali ganda,” katanya sambil menambah mi basah keluaran mereka turut menerima tempahan daripada sebuah kolej di Kota Kinabalu.

Mee Aniq bagi jenis mi basah dijual pada harga RM2 sekilogram manakala mi kering RM2 sebungkus.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini, menggalakkan lebih banyak pasar raya menjual produk yang dihasilkan usahawan luar bandar di negeri ini.

Mohd Shafie berkata, ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri yang menggalakkan lebih ramai masyarakat luar bandar berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Berita Harian X