Jumaat, 30 Ogos 2019 | 8:37pm
MUHAMMAD Haris atau mesra dengan panggilan PU Riz di hadapan gerai makanannya, Sizzling&Claypot di Nu Sentral.

Desire Food buka dua premis makanan di Nu Sentral

KUALA LUMPUR: Desire Food Sdn Bhd komited mengukuhkan kehadirannya dalam segmen makanan dan minuman (F&B) dengan membuka dua cawangan premis makanan, Sizzling & Claypot dan Thai Cuisine di medan selera pusat beli-belah Nu Sentral di sini.

Ahli Lembaga Pengarah Desire Food, Muhammad Haris Mohd Ismail, berkata pembukaan dua premis itu adalah kesinambungan kejayaan restoran Food Station yang mula beroperasi di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

“Saya optimis dengan perniagaan makanan kerana jika betul caranya, memang boleh pergi jauh kerana saya perhatikan perniagaan F&B sebegini sangat stabil.

“Walaupun perniagaan makanan ini sengit persaingannya, kehadiran dua premis medan selera di Nu Sentral ini saya percaya dapat terus memberi variasi kepada ramai orang,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz Ismail berkata, beliau memilih konsep makanan ‘claypot’ kerana memiliki keunikan dan peminatnya yang tersendiri.

“Walaupun mempunyai lebih 30 menu, kita tetap hidangkan dalam ‘claypot’ supaya makanan yang dipesan dapat dinikmati dalam keadaan masih panas.

“Paling penting, masa menunggu untuk setiap pesanan juga tidak melebihi 10 minit sekali gus memberi kelebihan kepada mana-mana pelanggan yang mahukan makanan mereka sedap, mudah didapati dan cepat,” katanya.

Berbanding restoran, Riz memberitahu perniagaan medan selera ini bermodalkan jumlah wang yang kecil namun mampu mengaut keuntungan besar dengan mutu makanan yang berkualiti dan menambat hati pelanggan.

“Bagi memastikan dua medan selera ini terus jadi pilihan, kita menjanjikan kualiti makanan setaraf makanan di restoran.

“Kalau nak makanan sizzling, di Sizzling & Claypot kita tawarkan pelbagai jenis mi sizzling. Ada yang dicampur dengan telur, ayam, udang, sotong dan semuanya dengan harga mampu milik iaitu antara RM9.90 hingga RM16.90,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, syarikat komited untuk mengembangkan operasinya ke negeri lain dalam tempoh jangka panjang.

“Kita mahu Desire Food ini bertapak di negeri lain juga tetapi buat masa sekarang kita mahu kukuhkan dahulu operasi di Lembah Klang,” katanya.

Berita Harian X