Isnin, 27 Januari 2020 | 3:36pm
Khairul Rizal Zulkafli (empat dari kanan) bersama usahawan tempatan di Shah Alam, baru-baru ini.
Khairul Rizal Zulkafli (empat dari kanan) bersama usahawan tempatan di Shah Alam, baru-baru ini.

SST Network kembang potensi usahawan e-dagang

KUALA LUMPUR: SST Network optimis segmen pelanggannya akan mencecah 2,000 orang setiap bulan berbanding 300 orang ketika ini selepas pengenalan dua perisian baharu menerusi laman web kimon.my.

Pengasas syarikat, Khairul Rizal Zulkafli, berkata pengenalan perisian baharu itu mampu membantu meningkatkan daya saing peniaga di media sosial sejajar dengan inisiatif kerajaan menggalakkan pembangunan usahawan e-dagang.

Khairul Rizal berkata, kimon.my yang dilancarkan pada suku ketiga tahun lalu memudahkan peniaga e-dagang memasarkan produk, melaksanakan transaksi jualan dan belian selain menyediakan simpanan stok barangan.

Katanya, ia juga dapat membantu peniaga melancarkan urusan penghantaran produk serta memantau bekalan stok dan menambahnya secara automatik di platform e-dagang dengan mudah.

“Perisian baharu ‘Follower’ diperkenalkan pada bulan ini manakala satu lagi perisian iaitu Kimon Viral akan dilancar pada pertengahan 2020,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Khairul Rizal berkata, Follower bertujuan membantu peniaga e-dagang meningkatkan jualan melalui inisiatif menjadikan kedai masing-masing di platform atas talian lebih menarik.

“Ia telah menjalani kajian dan pembangunan sejak empat bulan lalu dan harga langganannya ialah serendah RM19 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, bagi perisian kedua - Kimon Viral disasarkan kepada semua peniaga yang terbabit dalam perniagaan digital seperti peniaga produk digital, menjual buku elektronik dan juga video tutorial serta tiket secara atas talian.

“Perisian ini akan membantu peniaga mempromosikan produk dan perkhidmatan secara tular dan melalui konsep tular itu, ia bakal meluaskan lagi penguasaan pasaran perniagaan berkenaan.

“Harga langganan untuk Kimon Viral ialah serendah RM20 sebulan,” katanya.

Khairul Rizal berkata, pihaknya menyasarkan pelanggan bagi kedua-dua perisian berkenaan mencecah 100 usahawan setiap bulan.

“Lebih menarik, Kimon Viral ini boleh diketengahkan kepada pasaran antarabangsa kerana ia terbuka kepada mereka yang terbabit dalam perniagaan digital,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat kini sudah melabur kira-kira RM50,000 untuk projek pembangunan perisian baharu dan pelbagai inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggannya.

“Kami berharap tahun 2020 akan menjadi tahun yang menggalakkan untuk syarikat mencari idea baharu bagi meningkatkan daya saing peniaga e-dagang dan memberi lebih banyak kemudahan kepada mereka untuk terus

menguasai perniagaan digital,” katanya.

Berita Harian X