Isnin, 6 April 2020 | 2:05pm
Bungkusit menawarkan perkhidmatan pembayaran tunai semasa serahan
Bungkusit menawarkan perkhidmatan pembayaran tunai semasa serahan

Bungkusit tawar komisen sifar bantu PKS pamer produk

KUALA LUMPUR: Bungkusit, penyedia perkhidmatan penghantaran yang berpangkalan di Selangor menawarkan kadar komisen sifar peratus kepada peniaga dalam usahanya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempamerkan produk mereka di seluruh negara.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Perhubungan Awam Bungkusit, Azhar Zein berkata, tidak seperti aplikasi perkhidmatan penghantaran e- hailing lain yang mengenakan vendor komisen setinggi 35 peratus, syarikat itu tidak mengambil komisen daripada peniaga mereka.

Mereka hanya mengenakan bayaran pendaftaran sekali iaitu RM100.

“Kami adalah syarikat yang didorong perusahaan sosial, sehingga hari ini kami menawarkan komisen sifar peratus kepada peniaga kami kerana kami tidak mahu keuntungan PKS berkurangan apabila margin (keuntungan) mereka telah pun mengecil.

“Justeru, kami tidak akan mengganggu aliran operasi mereka. Semua peniaga gerai tepi jalan dan penjual dalam talian kini boleh menyertai kami dan mempromosikan produk mereka ke seluruh negara tanpa perlu bimbang dengan komisen dan e-pembayaran,” katanya kepada Bernama.

Syarikat itu, katanya, mengguna pakai operasi mewujudkan nilai kepada pelanggan untuk menjadi lebih mampan dan menstrukturkan organisasi mereka menjadi lebih cekap, bergantung kepada teknologi bagi mengoptimumkan operasi dan dalam masa yang sama meminimumkan kos.

Selain menghapuskan halangan digital dan menyediakan platform bagi PKS untuk mempamer dan menjual produk mereka, Azhar berkata, Bungkusit juga menyasar membantu golongan kumpulan B40 mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.

“Kami menyediakan ganjaran tunai segera kepada penghantar kami, kerana kami percaya penghantar adalah duta kepada syarikat dan sekiranya mereka dijaga dengan baik, pelanggan juga akan turut terjaga.

“Penghantar ini adalah pekerja B40 dan mereka memerlukan tunai segera untuk menyokong keluarga mereka setiap hari. Oleh itu, kami menyediakan platform kepada mereka untuk mendapat pendapatan setiap hari, membolehkan mereka mempunyai tunai dalam tangan segera sebaik sahaja pesanan selesai dihantar,” katanya.

Operasi Bungkusit, katanya, berbeza daripada penyedia perkhidmatan penghantaraan e-hailing lain kerana ia memberikan kebebasan dan kelonggaran kepada penggunanya dari mana-mana lokasi di seluruh Malaysia.

“Radius kami adalah luas, anda tidak perlu bimbang peniaga mana yang bekerjasama dengan kami, kerana anda bebas untuk memesan dari mana sahaja yang anda mahu walaupun ia tidak berada dalam senarai kami, dengan kadar asas bermula pada RM7.50.

“Apa yang anda perlu tahu adalah lokasi dan waktu operasinya dan kami boleh ‘Membeli dan Menghantarnya’,” katanya.

Bungkusit menawarkan perkhidmatan pembayaran tunai semasa serahan (COD) dengan jarak penghantaran sejauh 500 kilometer dan membantu perkhidmatan penghantaran semua peringkat pengguna, dan memiliki 27,000 penghantar, lebih 3,000 peniaga serta 700,000 pelanggan berdaftar.

-BERNAMA

Berita Harian X