Ahad, 19 Julai 2020 | 3:32pm
Syarikat yang terus melakukan transformasi digital perlu fokus dalam meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap titik hubungan - Foto hiasan
Syarikat yang terus melakukan transformasi digital perlu fokus dalam meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap titik hubungan - Foto hiasan

PKS digalak teruskan transformasi digital

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk meneruskan agenda transformasi digital walaupun selepas kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IA Consulting Sdn Bhd (IAC), Nuraslina Zainal Abidin berkata, PKS mungkin merasakan tiada keperluan mendesak untuk beralih ke arah digital kerana perniagaan dijangka akan beroperasi seperti biasa kerana kadar penularan COVID-19 semakin menurun.

Beliau berkata, PKS perlu melihat digitalisasi sebagai langkah penting untuk meningkatkan perniagaan dan ketahanan operasi serta produktiviti ketika tempoh mencabar ketika ini.

"Ada kemungkinan PKS tidak sepenuhnya memahami pentingnya transformasi digital, dan langkah pertama yang perlu mereka laksanakan adalah melaksanakan transformasi digital.

"Kami melihat bahawa dalam organisasi besar, tidak ada penangguhan dalam usaha transformasi digital. Syarikat besar juga semakin mempercepat inisiatif digitalisasi mereka.

"Jika biasanya transformasi digital dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, ketika ini ia perlu dipercepatkan dalam tempoh kurang dari tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Genaxis dan IAC adalah anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX).

Nuraslina berkata, syarikat yang terus melakukan transformasi digital perlu fokus dalam meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap titik hubungan.

Beliau berkata, ini untuk memanfaatkan norma baru di mana pelanggan beralih ke telefon pintar atau platform internet untuk membuat pembelian.

PKS, katanya pasti akan mendapat keuntungan dalam menjangkau lebih ramai pelanggan dan mengurangkan kos operasi dengan menukar ke platform digital.

"Untuk PKS mengadaptasi digitalisasi, mereka harus terlebih dahulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan digitalisasi sama ada untuk membantu menurunkan kos operasi, memperoleh sasaran pelanggan baru, melancarkan produk atau perkhidmatan baharu serta mengoptimumkan sumber.

"Sebagai tambahan, PKS perlu memahami bahawa melalui digitalisasi mereka akan dapat mengakses data berharga termasuk profil pelanggan sasaran, di mana mereka berada dan juga corak jual beli.

"Data ini dapat berfungsi sebagai input yang berharga dalam perancangan pengeluaran, reka bentuk produk atau perkhidmatan dan juga saluran pemasaran untuk produk serta perkhidmatan PKS," katanya.

Nuraslina berkata, sebilangan besar PKS akan memilih untuk memberhentikan pekerja kerana kekangan aliran tunai dalam tempoh lima bulan terakhir ini.

Oleh itu, katanya, mereka memerlukan langkah drastik untuk mengurangkan kos dan memulakan model perniagaan baru.

PKS juga, katanya perlu melihat semula proses dalam organisasi mereka yang menyumbang kepada kos yang tertinggi.

Berita Harian X