Isnin, 27 Julai 2020 | 12:38pm

WTCKL cadang buka lebih banyak Riverside Cafe On The Go

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bercadang menambah cawangan Riverside Cafe On The Go di sekitar Lembah Klang termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab, berkata bagi tujuan itu pihaknya sedang dalam perbincangan akhir dengan beberapa pihak untuk menambah beberapa lagi cawangan Riverside Cafe On the Go di sekitar Lembah Klang terutama di beberapa stesen minyak terkemuka.

"Kita juga sedang mempertimbangkan untuk membuka cawangan Riverside Cafe On the Go di IPT awam dan swasta di sekitar Lembah Klang. Pihak kami berpendapat, dengan pembukaan cawangan berkenaan, ia mampu memberikan peluang pekerjaan kepada pelajar terutama dari keluarga B40," katanya dalam satu kenyataan.

Fauzy berkata, dengan mengetengahkan jenama Riverside On the Go dalam bentuk francais, WTCKL berharap untuk mengetengahkan usahawan muda dalam industri makanan dan minuman ke persada antarabangsa.

"Bakat dan minat dalam bidang perniagaan ini harus dipupuk dari usia muda. Justeru, kita berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk memberi ruang dan peluang kepada bakal usahawan muda kita ini.

"Seiring dengan perlantikan terkini Pengarah Eksekutif kita Dato' Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik Persatuan Pusat Dagangan Dunia, kita bermatlamat agar jenama Riverside ini dapat diketengahkan kepada usahawan francais tempatan dan turut sama membantu mempromosikan jenama ini ke peringkat antarabangsa melalui platform yang tersedia di dalam gabungan ahli lain seluruh Asia Pasifik," katanya.

Baru-baru ini, WTCKL melancarkan cawangan baharu Riverside Cafe On The Go di di ruang legar Menara Dato Onn di sini yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Tampil dengan konsep yang lebih santai dan mesra pelanggan, "Riverside Cafe On The Go" masih lagi mengekalkan menu yang sama dan menumpukan perhatian kepada meningkatkan mutu penyediaan makanan yang lebih cepat dan efisien untuk menjamu para pelanggan sebagai jaminan kepuasan pelanggan.

Fauzy berkata, Riverside Cafe On The Go menawarkan pelbagai sajian yang mudah dan ringkas dan sedia dimakan seperti pelbagai jenis pastri, aneka kuih muih tradisional Melayu dan hidangan tempatan lain.

"Riverside Cafe On The Go ini juga menawarkan 'Point-Based Rewards' kepada pelanggan yang berbelanja. Setiap pembelian bernilai RM5, pelanggan akan memperoleh 1-mata ganjaran. Kad loyalti akan diberikan kepada setiap individu yang datang dan hanya perlu ditunjukkan kepada juruwang untuk dicop. Pengumpulan sejumlah mata ganjaran melayakkan pelanggan untuk menebus kopi dan pastri secara percuma," katanya.

Berita Harian X