Selasa, 8 Ogos 2017 | 9:42pm

Lahir anak ketika beratur mengundi

NAIROBI: Seorang wanita Kenya melahirkan seorang bayi ketika sedang beratur menunggu giliran untuk mengundi dalam pilihan raya, hari ini, namun tetap memastikan dirinya menunaikan kewajipan itu.

Pauline Chemanang yang sarat mengandung berasa sihat ketika keluar rumah untuk mengundi lebih awal di stesen pengundian daerah terpencil Barat Pokot, katanya kepada radio tempatan Capital FM.

"Saya tidak merasa sakit untuk bersalin, bayi terasa hendak keluar sebaik saya tiba di sini. Saya tidak merasa apa-apa sejak semalam," katanya.

Tidak lama selepas tiba, dia merasa hendak bersalin dan dengan bantuan orang ramai, selamat melahirkan bayi perempuan ketika masih berada di stesen pengundian.

Selepas mengunjungi klinik kesihatan tempatan, dia kembali dan membuang undi.

"Kini saya gembira kerana melahirkan anak dan mengundi. Melahirkan anak di stesen undian satu rahmat dan saya berterima kasih kepada Tuhan," katanya kepada stesen radio itu.

Rakyat Kenya mengundi dalam enam pilihan raya, termasuk memilih antara Presiden Uhuru Kenyatta, yang mengintai penggal kedua serta pemimpin pembangkang, Raila Odinga.

Pengundian di 41,000 stesen undi di seluruh negara agak tenang, walaupun ada kelewatan di sesetengah kawasan akibat kegagalan peralatan dan cuaca hujan. - AFP

Berita Harian X