Selasa, 21 November 2017 | 5:46pm
50 maut dalam serangan pengebom nekad di sebuah masjid di bandar timur laut Mubi, Adamawa di timur laut Nigeria. - Foto AFP
50 maut dalam serangan pengebom nekad di sebuah masjid di bandar timur laut Mubi, Adamawa di timur laut Nigeria. - Foto AFP

50 maut, serangan masjid di Nigeria

KANO: Sekurang-kurangnya 50 maut dalam serangan pengebom nekad di sebuah masjid di bandar Mubi, Adamawa di timur laut Nigeria pada pagi tadi, kata polis.

Jurucakap polis negeri, Othman Abubakar berkata, setakat ini pihaknya mengesahkan sekurang-kurangnya 50 maut dalam serangan pada waktu solat Subuh.

"Setakat ini kami dimaklumkan sekurang-kurangnya 50 maut dalam serangan sebuah masjid di Mubi," katanya mendakwa serangan itu dilakukan militan Boko Haram.

"Sejumlah mangsa lain turut cedera, namun kami tidak mempunyai jumlah buat masa ini kerana mangsa dibawa ke beberapa hospital berasingan untuk rawatan.

"Pengebom menyertai jemaah lain ketika waktu solat, dia masuk ke masjid bersama-sama jemaah lain sebelum meletupkan diri ketika jemaah sedang bersolat," kata jurucakap polis wilayah Adamawa, Othman Abubakar.

Ditanya mengenai siapa yang bertanggungjawab, Abubakar berkata:

"Kita tahu corak serangan. Kami tidak mengesyaki sesiapa secara khusus namun kami tahu siapa dalang serangan seperti itu."

Serangan itu menyamai modus operandi Boko Haram, militan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20,000 maut dan lebih 2.6 juta penduduk terpaksa menjadi pelarian sejak 2009.

Ketua agensi pengurusan bencana Adamawa, Haruna Furo dan pengerusi kerajaan tempatan utara Mubi, Musa Hamad Bello masing-masing mengesahkan serangan itu.

Pegawai perkhidmatan kecemasan lain menyifatkan serangan meninggalkan kesan amat memusnahkan.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran masjid, Abubakar Sule berkata, beliau baharu saja pulang ke rumah ketika letupan berlaku.

"Saya berada di lokasi ketika operasi menyelamat dijalankan dan 40 orang maut di tempat kejadian. Sejumlah mangsa lain dibawa ke hospital sama ada dengan kecederaan parah atau serius.

"Bumbung masjid musnah. Penduduk berhampiran masjid mengatakan pengebom meletupkan diri ketika solat Subuh hampir selesai dan dia berada di kalangan jemaah. Jelas ini kerja Boko Haram," kata Sule. - AFP

Berita Harian X