Rabu, 16 Mei 2018 | 8:13pm
PEKERJA kesihatan melawat wad pengasingan di Hospital Bikoro. - Foto Reuters

4,000 dos vaksin Ebola dihantar ke Congo

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar 4,000 dos vaksin Ebola ke Congo, hari ini, iaitu kali pertama sejak ia dibangunkan dua tahun lalu.

Bagaimanapun, vaksin yang dihasilkan oleh Merck masih belum memperoleh lesen, tetapi ia sudah terbukti berkesan dalam beberapa siri ujian di Afrika Barat yang terjejas teruk dengan wabak Ebola.

Kira-kira 11,300 penduduk Guinea, Liberia dan Sierra Leone maut ketika wabak itu melanda dari 2014 hingga 2016.

Sementara itu, pegawai kesihatan berharap vaksin itu dapat digunakan untuk mengawal wabak yang melanda Republik Demokratik Congo (Congo).

WHO percaya kira-kira 20 penduduk maut sejak wabak itu melanda negara berkenaan pada bulan lalu.

Setakat ini, kakitangan kesihatan merekodkan dua kes disahkan Ebola, 22 kes kemungkinan Ebola dan 17 kes disyaki Ebola di tiga zon kesihatan di wilayah Equateur, Congo, selain mengenalpasti 432 individu yang mempunyai hubungan dengan penyakit itu. - Reuters

81 dibaca
Berita Harian X