Khamis, 28 Jun 2018 | 7:43am
Salva Kiir (kiri), Presiden Sudan Omar Al-Bashir (tengah) Riek Machar berpegangan tangan setelah menandatangani perjanjian dama di Khartoum, Sudan. - Foto Reuters
Salva Kiir (kiri), Presiden Sudan Omar Al-Bashir (tengah) Riek Machar berpegangan tangan setelah menandatangani perjanjian dama di Khartoum, Sudan. - Foto Reuters

Deklarasi Khartoum akhiri perang di Sudan Selatan

KHARTOUM: Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir dan musuhnya, Riek Machar bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata yang dijangka berkuatkuasa dalam tempoh 72 jam, bermula semalam.

Persetujuan itu juga bakal menamatkan perang yang sudah berlarutan selama lebih empat tahun.

Konflik terbabit tercetus sejak 2013, iaitu kira-kira dua tahun selepas Sudan Selatan mencapai kemerdekaan dari Sudan, apabila Kiir menuduh bekas timbalannya, Machar merancang menggulingkannya.

Perbalahan itu meragut ribuan nyawa, selain menyebabkan empat juta penduduk hilang tempat tinggal dan memaksa mereka meninggalkan negara itu sehelai sepinggang.

"Semua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata kekal dalam tempoh 72 jam," kata Menteri Luar Sudan, Al-Dierdiry Ahmed selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin di Khartoum.

Difahamkan, Kiir dan Machar turut menandatangani dokumen yang dikenali sebagai 'Deklarasi Khartoum' sambil disaksikan oleh Presiden Sudan, Omar Al-Bashir.

"Hari yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sudan Selatan sudah tiba dan saya gembira kerana ia (gencatan senjata) berjaya dicapai," kata Kiir selepas menandatangani deklarasi berkenaan.

Sementara itu, Machar berkata, dengan termeterainya perjanjian gencatan senjata yang berkuatkuasa di seluruh negara itu, bermakna berakhirlah perang antara kedua-dua pihak. - AFP

Berita Harian X