Rabu, 22 Ogos 2018 | 1:13pm
RAJA Mohammed Vi. - Foto AFP

Raja Maghribi ampun 188 ahli "Hirak'

RABAT: Raja Maghribi, Raja Mohammed Vi berkenan mengampunkan seramai 188 orang yang mempunyai kaitan dengan gerakan bantahan ‘Hirak’ sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, kata Majlis Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

Majlis melaporkan pengampunan Raja itu dikurniakan kepada 11 aktivis yang menjalani hukuman penjara dua hingga tiga tahun di penjara kerana mengambil bahagian dalam bantahan ‘Al-Hirak al-Shaabi’ atau ‘Gerakan Populis’ yang menggegarkan wilayah utara Rif pada 2016 hingga 2017.

Menurut media Maghribi, pengampunan lain turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan demonstrasi di wilayah yang agak mundur itu.

Bagaimanapun, pengesahan masih belum dapat disahkan dari kementerian kehakiman, yang menyiarkan senarai orang yang mendapat pengampunan diraja.

Rusuhan sosial yang dikaitkan dengan Hirak bermula pada bulan Oktober 2016 selepas kematian seorang nelayan dan menimbulkan gelombang bantahan yang menuntut lebih banyak pembangunan di wilayah Rif yang diabaikan, amalan rasuah dan pengangguran yang berleluasa.

Menurut seorang pegawai majlis, tahanan Hirak yang mendapat pengampunan segera dilepaskan dan majlis hak asasi mula menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan di beberapa bandar untuk mempersiapkan kepulangan mereka.

Mahkamah Casablanca pada 26 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara ke atas 53 anggota Hirak dari setahun hingga 20 tahun. Hukuman itu mencetuskan kemarahan dan bantahan serta permintaan pengampunan raja. - AFP

Berita Harian X