Khamis, 6 September 2018 | 9:28pm
LIU Jiaqi.

Lelaki China diusir dari Kenya hina presiden

NAIROBI: Kenya menahan seorang ahli perniagaan China selepas video dirinya mengeluarkan kata-kata menghina berunsur perkauman dikongsi secara meluas di media sosial, kata kerajaan negara itu hari ini.

Lelaki China dikenali sebagai Liu Jiaqi, ditahan dan sedang diproses untuk dihantar pulang, kata jabatan imigresen Kenya.

“Permit kerjanya dibatalkan dan dia akan diusir atas alasan perkauman,” kata perkhidmatan imigresen di Twitter.

Dalam video selama dua minit setengah dikongsi di Twitter dan media sosial lain, Liu yang sedang bertengkar dengan seorang pekerjanya dirakam mengeluarkan kata-kata menghina.

“Setiap satu, setiap rakyat Kenya, seperti seekor monyet, malah Uhuru Kenyatta (Presiden Kenya). Semua mereka,” katanya.

Selepas kakitangan itu mencadangkan Liu perlu ‘pulang ke China’ jika dia merasakan seperti itu, ahli perniagaan terbabit membalas dengan penghinaan lanjut.

“Saya tidak sesuai di sini. Saya tidak suka berada di sini, seperti orang monyet, saya tidak suka bercakap dengan mereka, mereka berbau busuk dan miskin, dan bodoh, serta hitam. Saya benci mereka. Mengapa tidak, seperti kulit putih, seperti Amerika?” katanya.

Lelaki itu menambah, dia hanya berada di Kenya kerana ‘wang sangat penting.’

Tidak jelas daripada video itu apa sebenarnya tugas Liu di Kenya. Sesetengah rakyat Kenya di media sosial menggesa Liu didakwa berbanding hanya diusir.

Ini bukan kali pertama pekerja China di Kenya dituduh mengamalkan perkauman. Tiga tahun lalu, sebuah restoran kecil China di ibu kota ini ditutup pihak berkuasa dan pemiliknya didakwa kerana mengamalkan dasar ‘kulit hitam tidak dibenarkan masuk’ selepas jam 5 petang. -AFP

Berita Harian X