Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:26am
Peta Burkina Faso. - Foto seattletimes.com

12 maut militan serang Burkina Faso

OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh ketika serangan kumpulan militan di utara Burkina Faso, ketika usaha negara itu mengawal keganasan kumpulan pelampau, kata seorang pegawai.

Negara barat Afrika itu mengumumkan perintah berkurung di beberapa wilayah tahun lalu dan pada Khamis lalu, ketua tentera digantikan dalam usaha untuk menghentikan serangan sedemikian.

Kementerian keselamatan berkata dalam satu kenyataan semalam, serangan terbaru sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pasar di kampung pada siang hari.

“Kira-kira 30 lelaki bersenjata melakukan serangan di sebuah kampung di Gasseliki, menyebabkan 12 orang awam terbunuh dan dua lagi cedera. Sebuah bangsal, kereta sorong dan enam kedai turut terbakar dalam serangan itu,” kata kenyataan itu.

Sumber tempatan memberitahu AFP, penyerang merampas kedai dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berada di kawasan pasar.

Serangan kumpulan pelampau bermula di utara Burkina Faso sejak 2015 tetapi kemudian merebak ke arah timur berhampiran sempadan Togo dan Benin. - AFP

Berita Harian X