Khamis, 17 Januari 2019 | 11:26pm
Kirk Woodman adalah Naib Presiden Progress Minerals, syarikat Kanada dan pemilik lombong emas di Tiabangou, terletak di Yagha, wilayah bergolak berhampiran sempadan Niger dan Mali. -Foto Agensi

Kanada kecam kematian rakyatnya di Burkina Faso

OUAGADOUGOU: Seorang pakar geologi Kanada yang diculik di sebuah lombong emas terpencil di timur laut Burkina Faso oleh suspek militan ditemui mati, kata Kementerian Keselamatan negara itu hari ini.

“Mayat dengan kesan tembakan ditemui lewat semalam dikenal pasti sebagai Kirk Woodman, warga Kanada yang diculik kelmarin,” kata jurucakap kementerian, Jean-Paul Badoum.

Terdahulu, seorang pegawai keselamatan berkata, mayat lelaki kulit putih dengan kesan tembakan ditemui di Siega dalam wilayah Soum.

“Mayat itu dibawa ke Dori untuk dikenal pasti,” kata sumber. Sumber keselamatan lain berkata, mayat itu akan diterbangkan menggunakan helikopter ke sini.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata, negaranya ‘terkejut dan amat sedih’ dengan pembunuhan itu.

“Kanada mengutuk pihak bertanggungjawab atas jenayah kejam ini. Kami bekerja sama dengan kerajaan Burkina Faso dan rakan antarabangsa lain untuk memburu pihak yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Woodman adalah seorang daripada dua rakyat Kanada yang dilaporkan hilang di Burkina Faso, negara miskin yang dilingkari pemberontakan di Sahel.

Beliau adalah Naib Presiden Progress Minerals, syarikat Kanada dan pemilik lombong emas di Tiabangou, terletak di Yagha, wilayah bergolak berhampiran sempadan Niger dan Mali.

Menteri Keselamatan Burkina Faso, Clement Sawadogo berkata semalam, mangsa berada di lombong itu apabila diserang sekumpulan 10 lelaki bersenjata. -AFP

Berita Harian X