Jumaat, 15 Februari 2019 | 10:26am
Anggota polis mengawal di daerah Burkina Faso. - Foto AFP

Doktor maut jerangkap samar dipasang pada mayat meletup

OUAGADOUGOU (BURKINA FASO) : Seorang doktor tentera maut manakala dua pegawai polis cedera apabila sebutir bom yang diletakkan dalam mayat berpakaian seragam meletup di utara Burkina Faso.

Menurut sumber, pihak tentera dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memeriksa mayat itu yang ditemui terdampar di jalan pekan Djibo berhampiran sempadan Mali.

“Doktor itu maut dalam letupan jerangkap samar yang dipasang pada mayat berkenaan.

“Ia berlaku ketika mangsa cuba memusingkan mayat terbabit, menyebabkan beliau maut serta merta dan mencederakan dua yang lain,” kata sumber.

Sumber perubatan di Djibo memberitahu, dua anggota polis yang cedera itu dirawat di sebuah klinik tempatan dan seorang darinya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Burkina Faso yang terletak di tengah rantau Sahel, berdepan pemberontakan militan Islam sejak dahulu.

Minggu lalu kumpulan militan melancarkan tiga serangan dan satu darinya mengorbankan lima anggota pasukan keselamatan pada hari sama Presiden negara itu menganjurkan sidang kemuncak serantau bagi memerangi aktiviti pengganas. - AFP

Berita Harian X