Ahad, 10 March 2019 | 7:01pm
CEO Ethiopian Airlines, Tewolde G Medhin di lokasi nahas. - Ihsan Twitter Ethiopian Airlines

Tiada mangsa terselamat nahas pesawat Ethiopian Airlines

ADDIS ABABA: Tiada mangsa terselamat dalam penerbangan Ethiopia Airlines yang terhempas bersama 149 penumpang dan lapan kru, kata penyiar rasmi negara itu hari ini.

“Tiada yang terselamat di dalam pesawat yang membawa penumpang dari 33 negara itu,” kata penyiar rasmi, Perbadanan Penyiaran Ethiopia, memetik sumber syarikat penerbangan yang enggan dikenali.

Terdahulu syarikat penerbangan berkata, sebuah pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines terhempas pagi ini ketika dalam perjalanan dari ibu kota Addis Ababa ke Nairobi, Kenya bersama 149 penumpang dan lapan kru.

Operasi mencari dan menyelamat sedang diusahakan dan pihaknya tiada maklumat disahkan mengenai mangsa terselamat atau kematian.

Pesawat itu berlepas jam 8.38 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dan ‘terputus hubungan’ enam minit kemudian berhampiran Bishoftu, bandar sejauh 60 kilometer di tenggara Addis Ababa. - Reuters/AFP

JENTERA bomba bergegas ke lokasi nahas Ethiopian Airlines. - Foto Reuters

Berita Harian X