Selasa, 19 March 2019 | 7:44am
Lapan maut selepas sebuah kenderaan melanggar periuk api di Borno, Nigeria. Foto Agensi

Lapan maut angkara Boko Haram di Nigeria

KANO: Lapan maut selepas sebuah kenderaan melanggar periuk api yang dipasang di sebatang jalan di negeri Borno, timur laut Nigeria berhampiran sempadan Cameroon, semalam.

Kenderaan terbabit dalam sebahagian kumpulan konvoi yang dikawal pihak tentera, dan kemalangan berlaku ketika ia cuba memotong kenderaan lain.

Sumber tentera dan tentera awam mendakwa periuk api itu dipasang militan Boko Haram, bertujuan mencederakan orang awam yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kenderaan itu tiba-tiba meletup dan membunuh kesemua lapan individu yang berada di dalamnya.

“Tujuh lagi yang berada di dalam kenderaan berhampiran turut cedera dalam letupan itu,” kata pegawai tentera.

Menurut ketua tentera awam, Umar Ari, kejadian itu berlaku pada jam 10 pagi (waktu tempatan) di perkampungan Warabe, kira-kira 15 kilometer dari bandar Gwoza.

Katanya, ketika kejadian konvoi berkenaan baru sahaja meninggalkan Gwoza menuju ke Pulka, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Cameroon. - AFP

Berita Harian X