Isnin, 1 April 2019 | 12:55pm
Lokasi kejadian serangan di Kware, di dalam daerah Shinkafi, Nigeria. Foto Agensi
Lokasi kejadian serangan di Kware, di dalam daerah Shinkafi, Nigeria. Foto Agensi

10 petani maut diserang penjenayah

KANO: Lelaki bersenjata dipercayai terbabit dalam kes mencuri lembu dan menculik di utara Nigeria, dilaporkan menyerang sebuah kampung di Zamfara, menyebabkan 10 penduduknya maut.

Jurucakap polis, Mohammed Shehu, berkata lelaki bersenjata bermotosikal menyerang ladang bawang di Kware di daerah Shinkafi, pada Sabtu lalu dan menembak mati petani yang sedang bekerja.

“Kami menerima laporan mengenai satu serangan di Kware oleh anggota geng kumpulan bersenjata yang mengakibatkan 10 penduduk terbunuh.

“Berikutan itu, anggota keselamatan dihantar ke kawasan terbabit untuk mengawal keadaan,” katanya.

Beliau tidak mendedahkan maklumat mengenai punca berlakunya serangan itu, tetapi penduduk mendakwa ia mungkin tindak balas susulan operasi tentera terhadap kumpulan terbabit, baru-baru ini.

Minggu lalu, anggota tentera dikerah ke kawasan berkenaan untuk membanteras kumpulan penjenayah dengan melakukan serbuan ke kem latihan mereka di utara dan barat laut Nigeria. - AFP

Berita Harian X