Ahad, 7 April 2019 | 1:18am
PENUNJUK perasaan yang berkumpul di kediaman Presiden Omar al-Bashir di Khartoum. - Foto AFP

Penunjuk perasaan mara ke kediaman Presiden Sudan

KHARTOUM: Pasukan keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata untuk cuba meleraikan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di kediaman Presiden Omar al-Bashir di Khartoum, semalam.

Beberapa saksi berkata, ia adalah tunjuk perasaan terbesar menuntut beliau disingkirkan, setakat ini.

Tunjuk perasaan berulang menentang pemerintahan Bashir hampir 30 tahun bermula, Disember lalu. Namun, tunjuk perasaan, semalam, bertujuan menghantar mesej kepada Kementerian Pertahanan menuntut tentera memihak kepada penunjuk perasaan.

Ribuan penunjuk perasaan mengelak pasukan keselamatan yang diarahkan bertugas dalam jumlah besar di sekeliling pusat bandar dan berjaya pergi kawasan kediaman itu, ia turut menempatkan Kementerian Pertahanan dan ibu pejabat beberapa perkhidmatan keselamatan.

Mereka mengibarkan bendera dan melaungkan slogan menuntut ‘kebebasan, keamanan dan keadilan’, ketika berkumpulan di depan pagar kediaman terbabit yang dikawal tentera.

“Penunjuk perasaan terlalu ramai,” kata saksi Reuters di lokasi sambil menambah ia adalah perhimpunan terbesar, sejak tunjuk perasaan bermula pada 19 Disember lalu.

Walaupun tentera tidak cuba mengganggu penunjuk perasaan, beberapa saksi berkata, pasukan keselamatan sedang berusaha meleraikan mereka.

Mereka berkata, pihak berkuasa cuba mengepung penunjuk perasaan, menutup jalan ke Kementerian Pertahanan dan kediaman Bashir serta menyekat beberapa jambatan yang menghubungkan Omdurman iaitu separuh kawasan utara ibu negara terbabit untuk mengekang lebih ramai orang menyertai tunjuk perasaan.

Mereka kemudian cuba meleraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata, kata saksi, namun kebanyakan daripada mereka tidak berganjak.

Seorang profesor universiti, Mohamed Saleh yang menyertai tunjuk perasaan di luar Kementerian Pertahanan berkata, penunjuk perasaan mahu menghantar mesej kepada Bashir bahawa tunjuk perasaan tidak akan berhenti.

“Hari ini, kami menang dan yakin rejim akan tumbang,” kata Saleh, 63, yang menjangkakan jumlah penunjuk perasaan lebih 100,000 orang. - Reuters

Berita Harian X