Khamis, 11 April 2019 | 7:27pm
PRESIDEN Sudan, Omar al-Bashir. - Foto EPA
PRESIDEN Sudan, Omar al-Bashir. - Foto EPA

Tentera paksa Bashir letak jawatan, kenakan tahanan dalam rumah

KHARTOUM: Presiden Sudan, Omar al-Bashir dipaksa meletak jawatan oleh tentera hari ini selepas tiga dekad memerintah, dan langkah sedang dilakukan untuk membentuk majlis peralihan untuk mentadbir negara itu, kata sumber.

Sumber kerajaan dan Menteri Pengeluaran dan Sumber Ekonomi di Darfur Utara, Adel Mahjoub Hussein, memberitahu stesen al-Hadath TV yang beribu pejabat di Dubai, bahawa penguasaan Bashir sudah berakhir dan rundingan sedang dijalankan untuk membentuk majlis pemerintahan tentera.

Sumber Sudan memberitahu, Bashir, 75, berada di kediaman presiden dengan diberi kawalan ketat.

Anak lelaki pemimpin Parti Umma, Sadiq al-Mahdi, memberitahu stesen itu Bashir dikenakan tahanan dalam rumah bersama-sama beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin.

Awal hari ini, stesen televisyen tempatan berkata tentera akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

Namun beberapa jam kemudian, tiada pengumuman dibuat di tengah laporan perbezaan mengenai penubuhan majlis peralihan.

Beberapa penunjuk perasaan, yang berkumpul menentang Bashir sejak 19 Disember lalu, berkata mereka bimbang kelewatan akan membolehkan pemimpin itu memilih hidup dalam buangan. — Reuters

Berita Harian X