Rabu, 17 April 2019 | 8:39pm
Presiden Omar al-Bashir dipindahkan ke penjara Kober di Khatoum, Sudan. -Foto Reuters

Omar al-Bashir dipindah ke penjara Khartoum - Sumber

KHARTOUM: Presiden Sudan disingkir Omar al-Bashir dipindahkan ke sebuah penjara di sini susulan penggulingan tentera minggu lalu, kata sumber daripada keluarganya hari ini.

“Malam tadi, Omar dipindahkan ke penjara Kober di Khartoum,” kata sumber tanpa mendedahkan namanya.

Omar disingkir tentera Khamis lalu susulan bantahan empat bulan terhadap pemerintahan kuku besi tiga dekadnya. Pemerintah baharu tentera berkata, bekas pemimpin itu ditahan ‘di sebuah tempat selamat.’

Saksi berkata, ada pengerahan besar-besaran tentera dan anggota separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di luar penjara di utara ibu kota ini.

“Ada tentera dalam keadaan bersiap sedia dengan mesingan berhampiran penjara,” kata saksi kepada AFP.

Penjara Kober dibina British ketika pemerintahan kolonial dan terletak di timur tebing sungai Nil Biru di daerah utara ibu kota di mana Omar membesar.

Kawasan itu sebelum ini dikenali sebagai Kober, sempena nama penjara, namun Omar kemudian menukarnya kepada Omar al-Mukhtar, wira Libya menentang pemerintahan kolonial.

Penjara bata itu, dikelilingi tembok konkrit tinggi, menahan ratusan banduan pada satu ketika, ramai bersesak dalam sel kecil.

Ia memiliki sayap khas untuk tahanan politik di mana beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis ditahan sepanjang empat bulan bantahan yang menjurus penggulingan Omar.

Sayap itu dikendalikan Perisikan Nasional dan Perkhidmatan Keselamatan yang ditakuti berbanding polis.

“Dalam sel kecil itu, mereka menahan enam hingga tujuh orang, kebanyakannya penyeludup dan penjenayah kecil. Ada bilik aid dalam setiap sel namun tiada katil, hanya tilam dan nyamuk,” kata koresponden AFP yang ditahan ketika bantahan menentang Omar Januari 2018. -AFP

Penunjuk perasaan Sudan berkumpul dan melaungkan bantahan di luar ibu pejabat tentera di Khartoum, semalam. Pemimpin bantahan menggantung rundingan dengan tentera selepas mereka gagal memenuhi tuntutan memindahkan kuasa kepada pemerintahan awam. -Foto AFP

Berita Harian X