Selasa, 14 Mei 2019 | 8:37am
Penunjuk perasaan Sudan cuba menyekat sebatang jalan di ibu kota Khartoum ketika bantahan semalam. Empat penunjuk perasaan dan seorang mejar tentera terbunuh apabila ditembak elemen tidak dikenali. -Foto AFP

5 terbunuh ketika rundingan kerajaan peralihan Sudan

KHARTOUM: Seorang mejar tentera Sudan dan empat penunjuk perasaan ditembak mati semalam dalam satu bantahan di ibu kota ini, beberapa jam selepas pemimpin bantahan dan jeneral pemerintah mencapai satu perjanjian bersejarah berhubung kuasa peralihan untuk kerajaan awam.

Perkembangan itu dicapai ketika pejabat pendakwa raya awam berkata, Presiden disingkir Omar al-Bashir sudah didakwa berhubung pembunuhan penunjuk perasaan ketika bantahan anti-rejim yang menjurus menamatkan pemerintahannya bulan lalu.

Mejar tentera terbabit terbunuh manakala tiga askar cedera bersama empat penunjuk perasaan dan orang awam apabila ‘elemen tidak dikenali’ melepaskan tembakan ke arah bantahan, kata majlis pemerintah tentera ketika kumpulan demonstrasi berkampung di luar kompleks tentera.

“Seorang penunjuk perasaan terbunuh apabila ditembak di dada ketika bantahan manakala tiga lagi maut di Khartoum,” kata sebuah jawatankuasa doktor dikaitkan pergerakan bantahan.

Badan payung bantahan, Pakatan Kebebasan dan Perubahan berkata, keganasan itu adalah untuk ‘menjejaskan kesepakatan rundingan,’ menyalahkan pertumpahan darah itu terhadap bekas rejim.

Keganasan semalam meletus beberapa jam selepas jeneral dan pergerakan bantahan berkata, satu kesepakatan dicapai dalam rundingan berhubung penyerahan kuasa kepada pentadbiran awam.

“Dalam pertemuan hari ini, kami bersetuju berhubung struktur pihak berkuasa dan kuasa mereka. Pihak berkuasa adalah seperti berikut, majlis raja-raja, kabinet dan badan perundangan,” kata jurucakap pergerakan bantahan, Taha Osman.

Taha berkata, satu lagi pertemuan akan diadakan hari ini (Selasa) bagi membincangkan ‘tempoh peralihan dan anggota pihak berkuasa.’

Majlis tentera mengesahkan satu perjanjian sudah dicapai.

“Kami bersetuju membentuk pihak berkuasa peralihan di tiga peringkat, raja, eksekutif dan perundangan.

“Pada esok (Selasa), kami akan terus membincangkan peratusan penyertaan dan tempoh peralihan,” kata jurucakap majlis, Leftenan Jeneral Shamseddine Kabbashi.

Jeneral bertegas, tempoh peralihan antara dua tahun sementara penunjuk perasaan mahukan empat tahun. -AFP

Berita Harian X