Isnin, 3 Jun 2019 | 3:45pm
Sekurang-kurangnya dua terbunuh ketika majlis tentera Sudan cuba menyuraikan penunjuk perasaan di Khartoum. - Foto AFP

2 penunjuk perasaan di Sudan maut ditembak

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya dua terbunuh ketika majlis tentera Sudan cuba menyuraikan penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera di sini, kata seorang ahli jawatankuasa kedoktoran Sudan.

“Dua penunjuk perasaan aman terbunuh akibat terkena peluru hidup yang dilepaskan atas arahan Majlis Peralihan Tentera kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan di Twitter tanpa mengulas lanjut.

Wartawan AFP berkata, bunyi tembakan kedengaran dari lokasi perkhemahan penunjuk perasaan yang dikawal ketat anggota pasukan keselamatan.

“Tentera kini sedang menyuraikan penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera menggunakan kekerasan,” kata kumpulan yang menganjurkan protes di seluruh negara, sejak Disember lalu, Persatuan Profesional Sudan (SPA).

Seorang saksi di kejiranan Buri di timur Khartoum berkata beliau turut mendengar bunyi tembakan diikuti kepulan asap tebal dari lokasi khemah penunjuk perasaan.

SPA berkata ia membawa kepada pertumpahan darah dan menyeru rakyat Sudan untuk terus menyertai ‘ketidakpatuhan awam sepenuhnya’ bagi menjatuhkan majlis tentera dengan memprotes di jalan raya.

Tentera menyingkirkan presiden Omar al-Bashir April lalu selepas berbulan-bulan tunjuk perasaan berlangsung menentang pemerintahan kuku besi beliau termasuk berkhemah di hadapan ibu pejabat tentera di ibu negara Khartoum. - AFP

Berita Harian X