Sabtu, 15 Jun 2019 | 7:44am
Penduduk diimbas petugas Palang Merah Uganda di pusat pemeriksaan ketika mereka menyeberangi sempadan ke dalam Uganda dari Congo di bandar sempadan Mpondwe di barat Uganda, semalam. -Foto EPA

WHO enggan isytihar Ebola kecemasan antarabangsa

GENEVA: Satu panel Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memutuskan untuk tidak mengisytiharkan wabak Ebola di Congo sebagai satu kecemasan antarabangsa walaupun ia merebak ke Uganda minggu ini, merumuskan pengisytiharan seperti itu menjejaskan ekonomi.

Epidemik yang melanda Congo itu adalah yang kedua terburuk dengan 2,108 kes Ebola dan 1,411 kematian sejak Ogos tahun lalu.

Minggu ini ia sampai ke Uganda di mana tiga kes direkodkan, kesemuanya tiba dari Congo dengan dua daripadanya maut.

Dalam satu kenyataan, panel 13 pakar perubatan bebas dalam Jawatankuasa Kecemasan WHO menggesa negara jiran ‘berisiko’ memperbaiki persediaan bagi mengesan dan menguruskan kes import, ‘seperti mana dilakukan Uganda.’

“Ini bukan satu kecemasan global, ia adalah kecemasan di Republik Demokratik Congo, kecemasan teruk dan mungkin menjejaskan wilayah berhampiran.

“Jawatankuasa berpendapat, tiada sebarang manfaat diperoleh dengan mengisytiharkan PHEIC (Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa), namun ada banyak potensi kemudaratan berikutan itu,” kata pemangku pengerusi panel jawatankuasa berkenaan, Dr Preben Aavitsland dalam sidang media di sini.

Katanya, pengisytiharan seperti itu berisiko mencetuskan sekatan perjalanan atau perdagangan ‘yang mungkin menjejaskan secara teruk ekonomi di Congo.’

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, bercakap menerusi telefon dari Kampala berkata, penyebaran Ebola di Uganda adalah perkembangan baharu namun dinamik asas wabak tidak berubah.

Pengarah eksekutif program kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, pihak berkuasa Uganda kini menggariskan senarai 98 hubungan berpotensi terdedah kepada virus Ebola dengan 10 daripadanya dianggap ‘berisiko tinggi.’ -Reuters

Berita Harian X