Isnin, 17 Jun 2019 | 7:14am
Pemimpin disingkir Sudan, Omar al-Bashir diiringi konvoi tentera dari penjara Kobe ke pejabat pendakwa raya di Khartoum Utara semalam. -Foto AFP
Pemimpin disingkir Sudan, Omar al-Bashir diiringi konvoi tentera dari penjara Kobe ke pejabat pendakwa raya di Khartoum Utara semalam. -Foto AFP

Omar al-Bashir didakwa atas tuduhan rasuah

KHARTOUM: Pemimpin disingkir Sudan, Omar Al-Bashir didakwa atas tuduhan rasuah semalam, beberapa minit selepas muncul di khalayak ramai buat kali pertama sejak digulingkan pada 11 April lalu.

Mengenakan jubah tradisional berwarna putih dan serban, Omar dibawa keluar dari penjara Kober di ibu negara dengan diiringi konvoi lengkap bersenjata menuju ke pejabat pendakwa raya untuk berdepan pendakwaan.

Tidak lama kemudian, bekas pemimpin itu beredar dan air mukanya jelas kelihatan berang apabila pendakwa raya membacakan tuduhan ke atasnya, menggelapkan wang dan pemilikan sejumlah besar mata wang asing secara haram serta hadiah.

Tuduhan itu berkaitan dengan sebahagian jutaan wang tunai dalam dolar Amerika Syarikat (AS), euro dan pound Sudan ditemui di rumah Omar seminggu selepas tentera menyingkirkannya susulan protes selama beberapa minggu menentang pemerintahan 30 tahunnya.

Sementara itu, jeneral kanan majlis tentera berikrar bahawa individu yang melancarkan operasi besar-besaran bagi melumpuhkan tunjuk perasaan sehingga meragut puluhan nyawa awal bulan ini akan dijatuhi hukuman mati.

“Kami berusaha keras untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke tali gantung,” kata timbalan ketua majlis tentera, Mohamed Hamdan Dagalo dalam ucapan langsung di televisyen.

Katanya, sesiapa yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan.

Pada masa sama Mohamed Hamdan berkata, tuntutan daripada pemimpin bantahan terhadap pentadbiran kerajaan awam secara segera mungkin ditolak.

Katanya, satu pentadbiran peralihan dengan majoriti pemimpin pergerakan bantahan akan mencetuskan masalah kerana ia bukan hasil keputusan pilihan raya.

Menurut keterangan ramai saksi, ribuan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar ibu pejabat tentera di Khartoum selama beberapa minggu disuraikan dengan kekerasan oleh sekumpulan lelaki bersenjata memakai seragam tentera pada 3 Jun lalu.

Beberapa doktor yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu berkata, sekurang-kurangnya 129 individu maut dalam operasi berkenaan.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun meletakkan jumlah yang terkorban dalam insiden 3 Jun lalu itu kepada 61 orang.

Penunjuk perasaan dan saksi mendakwa, operasi berkenaan dilakukan kumpulan separa tentera yang amat ditakuti dan diketuai Mohamed Hamdan sendiri.

Sehubungan itu, AS dan penduduk Sudan mendesak satu siasatan bebas dilaksanakan bagi menyiasat secara terperinci insiden terbabit. - AFP

Berita Harian X