Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:31am
KERAJAAN Tunisia memiliki tempoh masa kurang dari dua bulan untuk mengadakan pilihan raya segera susulan kematian Presiden Beji Caid Essebsi. - Foto EPA

Tunisia miliki tempoh kurang dua bulan untuk pilihan raya presiden

TUNIS: Kerajaan Tunisia memiliki tempoh masa kurang dari dua bulan untuk mengadakan pilihan raya segera susulan kematian Presiden Beji Caid Essebsi di sebalik ketidakpastian berhubung individu yang sesuai memimpin negara Afrika Utara itu.

Beji, ketua pertama negara itu dipilih secara demokrasi dalam pilihan raya meninggal dunia Khamis lalu ketika berusia 92 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kekacauan politik dalam negara yang meraih kejayaan susulan kebangkitan ‘Arab Springs’.

Akhbar semalam menyiarkan belasungkawa sempena menghormati pemergian ‘bapa konsensus’ berkenaan manakala beberapa sambutan perayaan turut dibatalkan, serentak dengan pengisytiharan berkabung selama tujuh hari oleh kerajaan.

“Kesedihan dan kedukaan kami tidak dapat diluahkan dengan kata-kata,” lapor bahagian editorial akhbar harian berbahasa Perancis, Le Temps.

Jenazah Beji dibawa ke kediaman rasmi presiden di Carthage dari hospital tentera di Tunis, semalam untuk dikebumikan secara persendirian.

Beberapa jam selepas kematian Beji, speaker parlimen Mohamed Ennaceur mengangkat sumpah sebagai pemangku presiden yang memiliki tempoh selama 90 hari untuk menganjurkan pilihan raya presiden mengikut perlembagaan.

Jawatankuasa pilihan raya berkata, pilihan raya berkemungkinan besar diadakan pada 15 September, dua bulan lebih awal dari perancangan asal.

Kerajaan asing termasuk bekas kuasa kolonial, Perancis menyanjung tinggi peranan Beji dalam peralihan demokratik Tunisia manakala negara jiran Algeria dan Mauritania turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Menurut Perdana Menteri, Youssef Chahed, upacara pengebumian utama dijangka diadakan hari ini dengan dihadiri beberapa ketua negara luar. - Agensi

Berita Harian X